Penduduk taman perumahan USJ11/3L Subang Jaya terkejut apabila mendapati lima buah kereta diparkir dihadapan kediaman disimbah cat gara-gara perbuatan vandalisme individu tidak bertanggungjawab baru-baru ini.
Jawatankuasa Penduduk USJ, Jeffrey Khoo berkata, difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 2.00 hingga 5.00 pagi semasa semua penghuni sedang nyenyak tidur.
Menurutnya, dipercayai individu terbabit memasuki kawasan perumahan melalui pagar kecil apabila menemui kesan cat pada permukaan pagar tersebut.
” Sehingga kini, kami tidak mengetahui punca sebenar di sebalik kejadian tersebut.
“Perbuatan vandalisme ini berlaku di sepanjang jalan dalam kawasan perumahan meskipun dikawal ketat pengawal keselamatan melakukan rondaan,”katanya dipetik daripada laman blog persatuan penduduk tersebut.
Katanya, penduduk memohon kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menambah lampu jalan di kawasan yang kurang cahaya serta samar bagi menangani masalah itu.
“Saya berharap sekiranya permohonan untuk mendapatkan lampu jalan diluluskan, seluruh kawasan perumahan akan terang benderang. kami masih menunggu maklum balas daripada pihak TNB.
“Tindakan pantas daripada penduduk dapat mengelakkan kejadian tersebut daripada berulang,” katanya.