Berhati-hati tatkala menggunakan perkhidmatan LRT RapidKL. Anda mungkin menjadi mangsa penipuan yang dijalankan sendiri oleh pegawai bertugas di kaunter, yang menjual tiket kosong kepada pengguna.
Didapati berlakunya kes penumpang membeli tiket train ke destinasi yang mahu dituju, namun apabila tiba waktu pelepasan, tiket tersebut tidak sah.
Apabila si mangsa mengadu kepada pegawai yang bertugas, aduan tersebut tidak diterima.
Malah pihak pegawai meminta bayaran untuk tiket lain dan lebih malang lagi apabila mangsa dikenakan kompaun sebanyak RM20 kerana mempunyai tiket yang ‘tidak sah’.
Hal ini turut diakui oleh salah seorang rakan pegawai LRT yang tidak mahu mendedahkan identitinya. Dia berkata, “Perkara ini sudah lama berlaku tetapi kekerapan bilangan tiket yang dijual menyebabkan tidak ramai yang perasan akan aktiviti licik ini.”
Menurutnya lagi, pihaknya akan membekalkan beberapa keping ‘tiket kosong’ di beberapa buah stesen dan keuntungan tersebut akan dibahagi sama rata.
Apabila difikirkan semula jumlah kerugian yang dialami oleh penumpang tidaklah besar tetapi jumlah keuntungan palsu yang dikaut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini boleh dikira lumayan.
Penumpang juga akan berasa rugi apabila dikenakan kompaun termasuk bayaran yang berganda daripada bayaran yang ditetapkan.
Oleh hal yang demikian, mesin automatik yang disediakan untuk membeli tiket di setiap stesen adalah langkah mengelak daripada penipuan. Masalahnya, mesin tersebut tidak selalu diselenggara dengan baik.
Pihak bertanggungjawab harus mengambil serius mengenai hal ini agar penumpang tidak terus ditipu oleh pegawai RapidKL yang tidak beretika.