Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling (Caps) mendesak kerajaan membatalkan lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010.
Timbalannya Shamsuddin Hassan berkata, desakan itu dibuat berikutan pertaruhan lesen judi nombor ekor seperti Magnum, Toto, 3D dan pusat judi video haram dilihat semakin berleluasa.
Menurutnya, perkara ini sukar dibendung sekali gus menjadikan segelintir rakyat di negara ini banyak menghabiskan masa, duit serta gaji hasil daripada titik peluh mereka ke meja perjudian.
“Apa yang lebih membimbangkan bila ekonomi institusi keluarga merosot akan berlaku kejadian yang tidak diingini seperti kes ragut, mencuri dan kejadian pecah rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Komunitikini menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 baru-baru ini.
Shamsuddin berkata, jika kerajaan meluluskan lesen perjudian, lebih banyak rakyat di negara ini akan menjadi `penjudi tegar`.
Menurutnya, ia termasuklah pelajar sekolah menengah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) yang akan mula berjudi kerana mereka merupakan peminat bola sepak nombor satu di negara ini.
“Sebelum terlambat, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan serta menolak unsur perjudian pada piala dunia 2010 demi menyelamatkan rakyat daripada terus terjebak dalam kancah perjudian,”katanya.