Penduduk Kawasan Rukun Tetangga (RT) Seksyen 3, Petaling Jaya menggesa pihak berwajib membina pondok polis baru di kawasan perumahan berdekatan jejantas.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 15 dan 16 MBPJ, Shamsuddin Hassan berkata, dengan adanya pondok polis boleh mengurangkan kadar jenayah terutamanya kes ragut yang kerap kali berlaku di kawasan tersebut.
Menurutnya berdasarkan aduan yang diterima oleh masyarakat setempat baru-baru ini, pihaknya mendapati kadar jenayah terutamanya kes ragut kembali meningkat.
Ditanya sama ada pernah mengemukakan aduan kepada pihak berwajib, katanya, beliau sudah mengemukakan aduan, sejak dua bulan lalu, anggota polis kerap mengadakan rondaan jalan kaki, berkuda dan menaiki motosikal dilihat berjaya mengurangkan kadar kes ragut di tempat tersebut.
Katanya, dahulu kami sudah meminta pondok Polis dibina berhampiran stesyen bas dan sudah pun diluluskan.
Bagaimanapun, baru-baru ini jenayah ragut kerap berlaku menyebabkan kebimbangan di kalangan penduduk setempat.
Sehubungan itu, kami menggesa pihak berwajib membina pondok polis di kawasan berhampiran jejantas menjadi laluan motosikal, di mana kerap berlakunya jenayah ragut,” katanya ketika ditemui di Kabin Rukun Tetangga Jalan Sentosa, semalam.
Shamsuddin berkata, pada masa yang sama, kami turut mengadakan rondaan dalam usaha membantu polis menangani jenayah, sekiranya balai polis baru ini dibina, kami yakin kadar jenayah akan berkurangan.
Difahamkan antara jalan dikenalpasti kerap kali berlakunya kes ragut ialah di jalan 2, jalan 19, jalan pasar dan bulatan 12.
Sementara itu, Pengerusi Wakil Penduduk Sekysen 1, Kok Kuang Yong ketika ditemui memberitahu jenayah ragut kerap berlaku di kawasan perumahannya.
Beliau berkata, kebiasaannya modus operandi peragut bermula jam 5.30 pagi hingga 7.00 pagi manakala pada sebelah malam bermula jam 10 malam ke atas.
” Anggota Polis perlu mengadakan rondaan dengan lebih kerap ke kawasan panas yang menjadi tumpuan peragut kerana pada bulan lepas sahaja sudah 6 kali jenayah ragut dilaporkan berlaku,”katanya.
Sementara itu, Pengerusi Wakil Penduduk Seksyen 2, Yap Kian Keong turut menceritakan pengalaman dirinya pernah menjadi mangsa ragut sebanyak dua kali.
Menurutnya kejadian ragut itu berlaku pada akhir Februari lalu.
“Kira-kira jam 10.40 pagi, saya diserang oleh empat orang lelaki menaiki motosikal bersenjatakan parang berhampiran kawasan perumahan.
“Kepala saya ditetak dengan parang dan bernasib baik tiada kecederaan serius berlaku,”katanya
Kian Keong berkata, sewajarnya hukuman berat dikenakan ke atas peragut kerana hukuman yang dilaksanakan tidak memberikan kesan kepada mereka.
Menurutnya, apa yang paling menyedihkan ialah apabila kejadian berlaku, jiran sebelah rumah hanya mampu memerhatikan dari jendela, setelah peragut beredar, barulah mereka keluar daripada rumah dan pura-pura bertanya.
“Bagaimana pula sekiranya situasi itu diterbalikkan, kejadian itu berlaku dirumah mereka, sementara saya hanya duduk memerhatikan sahaja, apa perasaan mereka pada ketika itu,”katanya dalam nada kesal.
“Saya melihat semangat kejiranan dalam masyarakat pada hari ini sudah terhakis daripada jiwa sanubari, seharusnya kita memupuk semangat mengenali jiran sebelah dan memberikan bantuan kepada mereka dalam waktu kecemasan,”katanya.