Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Labuan meluahkan rasa kurang senang berikutan isu kenaikan harga barang keperluan di Labuan ini masih lagi belum menampakkan sebarang tindakan dari mana-mana pihak terlibat.
Ketua Cabang PKR Labuan, Simsudin Sidek, menyatakan bahawa tiga memorandum telah dihantar ke pejabat parlimen Labuan, Labuan Ferry Corporation dan Kememnterian Pengguna Dalam Negeri (KPDNKK) Labuan awal bulan ini.
Memorandum tersebut menghuraikan faktor peningkatan kos antaranya, akibat peningkatan tambang feri untuk lori dan caj berganda dari pelabuhan asal.
PKR Labuan juga berharap isu feri pengangkutan kargo antara Labuan dan Menumbok ini dapat kelulusan segera oleh pihak terlibat bagi mempercepatkan penyelesaian isu kenaikan harga ini.
Mereka juga berharap, pemberian kontrak itu akan dilakukan dengan telus demi menjamin kepentingan pengguna.
Menurut Simsudin lagi, kemungkinan satu perhimpunan aman akan diadakan dalam masa terdekat ini bagi meluahkan rasa kurang senang penduduk Labuan mengenai isu ini.
Jika perhimpunan itu dilaksanakan, ia hanya bertujuan untuk mengumpul seramai mungkin penduduk Labuan yang akan memakai baju berwarna putih tanpa sebarang tanda sebagai kesepaduan mengenai perkara ini.