Hampir 1500 rakyat Johor turun berhimpun dalam Himpunan Tanah Rakyat anjuran NGO Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) yang bermula tepat pada jam 2 petang.
Perhimpunan ini bertujuan mendedahkan isu isu tanah yang berlaku dalam negeri Johor antaranya, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa terhadap pemilikan Pulau Batu Putih, penjualan 2 lot tanah seluas 63.63 ekar milik Kumpulan Prasarana Rakyat Johor kepada Credence Resources, Danga Bay Holding dan Danga Bay pada harga yang jauh lebih murah dari nilai yang ditaksirkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta termasuk penjualan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad di Singapura yang mencurigakan.
Selain itu, tanah rizab Melayu yang diwartakan pada tahun 1957 seluas 3 juta hektar tetapi setelah pengambilan tanah dipinda pada tahun 1991, keluasan tersebut hanya tinggal 1.7 juta hektar sahaja.
Sebelum ini, seramai 500 orang asal Seletar Pulai telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Johor membantah pemberimilikan tanah dan kawasan mereka kepada orang lain.
Wakil-wakil mangsa yang terbabit dalam isu tanah di sekitar Johor turut tampil menceritakan masalah yang mereka hadapi dalam perhimpunan ini.
Sebanyak 10 tuntutan telah dikemukakan kepada kerajaan negeri Johor dalam perhimpunan aman itu antaranya selamatkan tanah rizab Melayu, mewartakan tanah rizab orang asal, ketelusan dalam pemberian tanah dan menghentikan pemberian tanah kepada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) di samping menuntut semula Pulau Batu Puteh dan menyiasat penjualan tanah milik KTM di Tanjung Pagar, Singapura.
Himpunan Tanah Rakyat juga menuntut agar pemilik tanah yang diambil alih memiliki ekuiti dalam projek mega yang dijalankan di samping menuntut kerajaan negeri menyelesaikan projek-projek perumahan yang terbengkalai seperti di Taman Desa Kempas, Tampoi.
Perhimpunan yang juga menuntut agar tanah milik penyeleweng dirampas semula serta menghentikan manipulasi dan mengurangkan birokrasi dalam isu pemilikan tanah itu dipantau lebih kurang 300 anggota polis dan berakhir jam 4:10 petang.