Hari Pekerja: Pekerja berinovatif penggerak transformasi

SERDANG – Tema ini dipilih untuk mengiktiraf sumbangan warga pekerja berdedikasi dan berproduktiviti tinggi.

Perdana Menteri , Najib Abdul Razak telah menghadiri Majlis Perhimpunan Hari Perkerja 2012 di Taman Ekspo Pertanian Serdang, Selangor pada Sabtu, 12 Mei 2012

Najib menyampaikan amanat Hari Pekerja kepada lebih 8,000 orang warga kerja yang hadir dan melibatkan lebih kurang 200 jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta.

Perhimpunan ini diadakan untuk mengikiraf dan menghargai sumbangan golongan  pekerja dalam pembangunan negara serta mengeratkan semangat kerjasama dan permuafakatan secara “tripartisma” antara tiga pihak utama iaitu kerajaan, majikan dan pekerja dalam usaha pembangunan negara

Tema Hari Pekerja pada tahun ini adalah “Pekerja Berinovatif Penggerak Transformasi”. Tema ini dipilih untuk mengiktiraf sumbangan warga pekerja seluruh negara berdedikasi dalam menghasilkan produktiviti tinggi melalui kemahiran, kualiti, integriti, proaktif, inovatif dan kreativiti.

Usaha warga pekerja membuat pembaharuan dan melahirkan idea idea baru diterjemahkan melalui penghasilan output yang dapat meransang transformasi negara ke arah pencapaian negara berpendapatan tinggi.

Bagi mencapai pendapatan perkapita USD15,000 pada tahun 2020, negara memerlukan satu transformasi yang besar dalam budaya kerja rakyatnya, sama ada di sektor awam mahupun swasta.

Malah warga pekerja adalah pemangkin,penggerak dan pemacu kepada kejayaan negara ini sejak sekian lama.

Saperti tahun sebelumnya, Kementerian Sumber Manusia turut mengadakan anugerah bagi mengiktiraf sumbangan majikan dan pekerja dalam memartabatkan pembangunan sumber manusia.

Sedikit kelainan pada tahun ini, Kementerian Sumber Manusia menganjurkan Karnival Pekerjaan dan Latihan Kemahiran.

Karnival ini terbuka kepada orang ramai, secara khususnya, kepada pencari kerja di kalangan graduan Institut Pengajian Tinggi dan lepas sekolah.

Sebanyak 50 syarikat swasta menyertai karnival pekerjaan tersebut dengan menawarkan 3,000 kekosongan pelbagai jawatan.

 

Alan Chai