ADUN Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong dan beberapa orang penduduk telah merungut tentang pembakaran sampah di tapak pelupusan sampah yang terletak di Krubong, Durian Tunggal. Keadaan ini telah berlaku beberapa hari yang lalu dan boleh menjejaskan keadaan penduduk yang tinggal berdekatan dengan tapak pelupusan sampah itu.
Tapak pelupusan sampah yang terletak di Krubong sepatutnya telah berhenti beroperasi pada tahun 2008 lagi dan ini telah berlanjutan setelah 4 tahun dari tarikh asal ia beroperasi. Memandangkan tiada tapak pelupusan sampah yang baru untuk menggantikannya, operasinya masih diteruskan sehingga ke hari ini walaupun telah mencapai tahap kapasitinya.
Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara telah meluluskan pembinaan sel tambahan di Tapak Pelupusan Krubong seluas 12 hektar yang menelan kos berjumlah RM42.87juta. Jangka hayat sel tambahan ini tidak lebih daripada 18 bulan sementara menunggu tapak pelupusan Sungai Udang disiapkan.
Lokasi tapak pelupusan sampah yang baru akan dibina adalah di Sungai Udang, Melaka iaitu 25km dari pusat Bandar Melaka dan sejauh 15km dari tapak pelupusan sampah sedia ada di Krubong, Melaka. Tapak tersebut bersebelahan dengan Logi Pengolahan Enap Cemar Berpusat sungai Udang milik Jabatan Perkhidmatan Pembentungan dan keluasannya ialah 64 hektar.
Tapak pelupusan tersebut dijangka beroperasi pada awal tahun 2013 dan anggaran kos telah bertambah sehingga RM30juta atau RM40juta. Namun sehingga ke hari ini belum ada sebarang berita mengenai tapak pelupusan sampah yang baru itu.