Perbelanjaan menggunakan kad debit Maybank meningkat lebih daripada 20 peratus dari bulan Disember 2010 hingga November 2011, sekali gus mencerminkan penerimaan pengguna terhadap mod pembayaran seumpama ini di dalam negara.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Maybank berkata bilangan pemegang kad debit turut mengukuh lebih daripada lapan peratus dalam tempoh yang sama.
Naib Presiden Eksekutif & Ketua Bahagian Kad, Kekayaan dan Pembayaran Maybank, B Ravintharan berkata pertumbuhan keseluruhan dalam penggunaan kad debit, termasuk perbelanjaan di luar negara, menunjukkan pengguna semakin sedar mengenai keperluan, keselesaan dan keselamatan berbelanja menggunakan kad debit.
Ravintharan berkata Maybank turut menganggarkan yang perbelanjaan menggunakan kad debit akan berkembang 60 peratus tahun ini, didorong menerusi promosi baharu serta lebih banyak kempen dan program kesedaran pengguna.
Perbelanjaan kad debit Maybank mengukuh 24 peratus dari bulan April hingga September tahun lepas berbanding tempoh yang sama tahun 2010, dirangsang oleh penganjuran kempen “Gunakan Debit Kad & Pandu Pulang Volkswagen (VW) Polo”.
Dua pengguna kad debit, Choo Ewe Jin dan Poo Chin Hui, masing-masing memenangi VW Polo dalam peraduan itu.
Maybank pada masa ini ialah peneraju pasaran dalam kad debit dengan asas pengguna hampir lapan juta termasuk empat juta pemegang kad visa debit.
– Bernama