Jumat Lias Mansor yang berasal dari Petagas, Sabah, bakal menyertai pertandingan seni mempertahankan diri yang berprestij, Dare Championship yang akan berlangsung di Bangkok pada Januari 7, 2012.
Jumat Lias Mansor atau lebih dikenali sebagai AJ Vaa berkata, peluang ini tidak harus dilepaskan kerana ia merupakan peluang untuk berentap dengan peserta dari seluruh dunia yang berkemahiran tinggi serta berpengalaman dalam pelbagai aliran seni mempertahankan diri.
Walaupun nama AJ Vaa masih agak asing di Malaysia mahupun di Sabah, beliau sememangnya dikenali ramai di luar negara.
“Ramai peminat daripada luar negara yang meminta tandatangan, ingin bergambar, meminta akaun Facebook dan lain-lain,” kata AJ Vaa.
Ini telah membuka mata pihak penganjur untuk membuat pertimbangan dan penilaian samada ingin menghantar jemputan kepada AJ Vaa untuk menyertai pertandingan tersebut.
Difahamkan bahawa penganjur pertandingan tersebut amat berhati-hati d idalam memilih peserta demi memastikan kualiti pertandingan tersebut. Difahamkan juga bahawa Aj Vaa merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia yang dijemput untuk menyertai pertandingan tersebut.
Berbekalkan latar belakang yang mantap dalam beberapa siri pertandingan Muay Thai dan Brazilian Jujutsu di Malaysia, Thailand, Australia dan Philippine, pihak penganjur ternyata tidak menghadapi masalah di dalam menyenaraikan AJ Vaa sebagai peserta di dalam pertandingan tersebut serta mengikat kontrak untuk beberapa perlawanan.
“Pihak penganjur telah membuat penyelidikan mengenai latarbelakang saya dengan meneliti maklumat dalam Facebook saya serta membuat panggilan telefon kepada penganjur-penganjur kejohanan Muay Thai dan Brazilian Jujitsu yang pernah saya sertai. Semua ini demi memastikan profil saya adalah benar dan tidak dibuat-buat,”
Terdapat ramai penggiat sukan Mix Martial Arts dari US, UK dan Eropah yang mahu menyertai pertandingan ini tetapi ditolak oleh penganjur.
Oleh kerana pertandingan Dare Championship merupakan pertandingan bertaraf dunia, Aj Vaa ingin berkongsi perkembangan membanggakan ini bersama seluruh rakyat Malaysia yang lain.
Pertandingan Dare Championship merupakan pertandingan Mix Martial Arts ala Ultimate Fighting Championship (UFC) yang diadakan di Amerika Syarikat.
“ Saya pergi ke sana membawa maruah negara. Selain untuk kepuasan diri, saya juga lakukan ini untuk negara. Ini bukan pertandingan seperti pertandingan seni mempertahankan diri yang lain, tetapi ia adalah perlawanan professional. Mesti lawan dengan maruah,” kata AJ Vaa yang menanggung sendiri kos latihan dan penerbangan.
Beliau akan berlepas ke Bangkok hari ini (Khamis) dan perlawanan pertama beliau akan diadakan pada Januari 7, dan lawan beliau adalah seorang peserta daripada Amerika Syarikat.