Safee Sali tekad kekal bersama Pelita Jaya

Safee Sali tekad kekal bersama Pelita Jaya

Biarpun ISL menghadapi kemungkinan diharamkan oleh FIFA, Safee Sali bertekad untuk kekal bersama Pelita Jaya FC.

 

Biarpun Liga Super Indonesia (ISL) menghadapi kemungkinan diharamkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Safee Sali bertekad untuk kekal bersama Pelita Jaya FC bagi mengharungi misi musim baru biarpun kontraknya bakal tamat hujung Januari depan.

Malah beliau tidak bimbang berhubung kemelut yang melanda Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan telah membuat satu pelan tindakan kecemasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal tiba.

“Saya percaya masalah ini akan diselesaikan oleh PSSI dengan campur tangan FIFA sedikit masa lagi.

“Oleh itu peluang beraksi di luar perlu dimanfaatkan sebaiknya. Saya sedia menyambung kontrak baru bersama Pelita Jaya sejurus tamat kontrak sedia ada 31 Jan depan,” katanya kepada pemberita di Mutiara Damansara semalam.

Beliau tampil dalam sidang media khas untuk menjawab mengenai masa depannya menyarung jersi bersama kelab Indonesia itu bersama pengurusnya, Zakaria Rahim.

Namun jelasnya jika sebarang pengharaman kepada Pelita Jaya mahupun seluruh arena bola sepak Indonesia, beliau juga bersedia untuk beraksi bersama Brisbane Roars dalam Liga A Australia ataupun kelab Belgium yang dimiliki pemilik Pelita Jaya, Nirwan Dermawan Bakrie.

“Saya tak nak fikir… saya tidak risau dengan masalah ini kerana ia sebenarnya hanya masalah kepimpinan melibatkan pihak management bola sepak Indonesia.

“Saya sebagai pemain bola sepak profesional hanya mahu bermain bola sepak di atas padang dan selain ingin membantu pasukan kebangsaan bagi kempen bola sepak antarabangsa,” kata bekas penyerang Selangor yang berasal dari Kajang itu.

Pemain berusia 28 tahun ini turut yakin rakyat Indonesia tidak akan membenarkan persatuan bola sepak mereka digantung dan pastinya akan membuat sesuatu bagi meleraikan masalah ini.

Beliau berkata sambutan luar biasa penyokong tempatan menjadi faktor kesetiaan beliau bersama kelab tersebut.

Malah tujuh gol daripada 14 perlawanan yang diharungi beliau sepanjang kempen Liga Super itu merupakan pencapaian karier yang cukup baik sepanjang musim 2011 bersama Pelita Jaya.

Safee bakal menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan tersebut musim depan yang akan memulakan sepak mula mulai 15 Feb nanti.

– Bernama