Angkatan Tentera Darat di bawah Divisyen Ketiga dan Briged Ketujuh Infantri Malaysia yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka dan Kluang telah turut membantu penduduk yang terjejas banjir di Johor.
Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Mej Jen Datuk Razali Ahmad telah mengarahkan 13 pegawai dan 174 anggota lain-lain pangkat daripada 5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), 10 RAMD dan 1 Rejimen Renjer Diraja membantu penduduk di Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai Jaya, Mersing dan Kota Tinggi.
“Operasi yang kita panggil Op Murni ini kita mulakan sejak semalam dan turut meliputi kawasan yang belum dilanda banjir,” kata Pegawai Staf 2 Perhubungan Raya Kapt Zuhairy Limat kepada Bernama semalam.
Dengan menggunakan aset seperti bot dan landrover anggota tentera itu membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir ke tempat yang selamat atau bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Katanya pegawai dan anggota terbabit akan berada di kawasan-kawasan tersebut sehingga keadaan banjir di negeri ini benar-benar pulih.
– Bernama