PLUS Expressways Berhad (PLUS) melabur RM16 juta bagi memasang lampu jalan LED di beberapa laluan sepanjang 22km di lebuh raya Linkedua di sini.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid dalam satu kenyataan berkata, laluan terbabit adalah di antara Plaza Tol Tanjung Kupang hingga Plaza Tol Lima Kedai (Km 4 hingga Km 19) dan Jalan Tanjung Kupang hingga Plaza Tol Taman Perling (Km12.6 hingga Km23).
“Projek pemasangan lampu jalan LED itu bertujuan memberikan penduduk sekitar perjalanan yang lebih selesa pada waktu malam.
“Ia juga bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia dan Nusajaya seterusnya meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Teknologi LED atau ‘Light Emitting Diode’ lebih terang, mesra alam dan menjimatkan tenaga.
Pemasangan lampu-lampu LED itu dijangka siap sepenuhnya Jun tahun depan.
– Bernama