Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata punca Sungai Selangor keruh yang dikesan mengganggu operasi empat loji pembersihan air Isnin lepas, adalah kerana runtuhan tebing sungai di beberapa tempat di sepanjang anak Sungai Kerling.
Beliau berkata siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan kejadian runtuhan tebing berlaku kira-kira dua kilometer dari Stesen Janakuasa Mini Hidro Sungai Kerling berhampiran sempadan Selangor dan Pahang.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini, katanya tidak ada aktiviti kemanusiaan seperti perlombongan pasir atau pembalakan haram dikesan sebagai punca tebing sungai itu runtuh tetapi ia dipercayai akibat hujan lebat.
“Pihak Luas dan agensi serta jabatan lain yang terlibat akan terus memantau runtuhan tebing sungai bagi mengelakkan kejadian yang lebih teruk manakala Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) diminta memastikan loji pembersihan yang dikendalikannya mampu mengatasi masalah sebegini pada masa akan datang, katanya.
Abdul Khalid berkata keadaan di loji-loji pembersihan telah dipulihkan dan beliau juga meminta LUAS menyediakan kolam khas bagi menadah air yang keruh dari sungai itu buat sementara waktu sebelum disalurkan ke loji-loji pembersihan.
Mengenai kenaikan sewa ruang niaga Kompleks PKNS oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada tahun depan, beliau berkata kerajaan negeri akan membantu PKNS memberikan penerangan kepada penyewa tapak dan ruang niaga di kompleks itu.
“Kerajaan negeri menerusi MBI (Menteri Besar Incorporated) akan menolong mereka yang tidak mampu membayar sewa Kompleks PKNS,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata bantuan itu hanyalah sementara dan kerajaan akan mengkaji bagaimana cara untuk membaiki perniagaannya supaya mereka mampu membayar sewa pada kadar baru.
Jika para peniaga memperoleh keuntungan kerana mereka mendapat subsidi sewa, ini tidak akan menjadikan mereka peniaga yang mempunyai daya saing, katanya.
Semalam penyewa Kompleks PKNS memfailkan injuksi di Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghalang kenaikan sewa ruang niaga mereka di antara 70 hingga 100 peratus mulai 1 Jan tahun depan.
– Bernama