Integrasi penuh sistem tiket pengangkutan awam Prasarana sudah bermula hari Isnin, dengan fasa pertama membabitkan laluan LRT RapidKL Ampang dan Kelana Jaya memasuki integrasi penuh, selepas 12 tahun ia beroperasi secara berasingan.
Ketua bahagian Komunikasinya Shuhainie Shamsuddin berkata apabila memulakan operasinya pada pukul 6 pagi ini, penumpang yang menggunakan pas MyRapid atau token perjalanan sehala menggantikan sistem tiket magnetik lama, tidak perlu lagi “keluar” dari stesen bersepadu Masjid Jamek apabila menukar laluan perjalanan yang membabitkan stesen berkenaan.
Beliau berkata penumpang juga kini boleh menggunakan kad Touch ‘n Go untuk perkhidmatan di stesen LRT berkenaan.
“Proses peralihan berjalan dengan lancar hari ini (Isnin) tanpa sebarang masalah besar. Bagaimanapun masih ada beberapa penumpang yang memerlukan bantuan dari segi tunjuk arah dan pergerakan di stesen, tapi petugas kami berada di sana untuk membantu mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari Isnin.
Menurutnya Prasarana kini boleh memberi tumpuan kepada fasa kedua yang akan membabitkan integrasi RapidKL Monorail yang disasarkan pada Mac tahun depan, diikuti dengan integrasi sistem bas RapidKL menjelang suku kedua 2010.
Shuhainie berkata sejak 2 Nov lepas RapidKL, anak syarikat Prasarana, menjual tiket-tiket baru di stesen-stesen LRTnya, di samping membuka ‘laluan pengguna’ yang baru, semasa mengekalkan laluan lama untuk sistem tiket semasa, sepanjang tempoh peralihan sistem itu.
Beliau berkata dalam menggalakkan pengguna menukar kepada sistem baru, RapidKL menawarkan promosi istimewa MyRapid Card RM10 tiap satu.
Menurutnya sistem tiket baru akan membolehkan pengguna membeli dan mengisi semula nilai tiket-tiket mereka secara on-line di masa akan datang, dan pengguna juga tidak perlu lagi beratur panjang untuk membeli tiket.
– Bernama