Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah semalam bertitah pengorbanan anggota tentera perlu diberi ganjaran setimpal sama ada ketika mereka masih aktif berkhidmat atau telah bersara tanpa melupakan anggota keluarga mereka.
Baginda bertitah mengingati jasa tentera tidak memadai dengan setahun sekali meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara pada Hari Pahlawan serta mengadakan tahlil di Masjid Negara.
“Tentera berkorban mempertahankan negara sepanjang masa. Apresiasi lebih bermakna perlu dilaksanakan, penghargaan lebih setimpal perlu difikirkan atas segala jasa dan bakti mereka,” titah baginda.
Raja Nazrin bertitah pada majlis syarahan umum dan pelancaran buku Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di sini.
Baginda kelihatan menahan sebak ketika mengenang anggota tentera yang terkorban semasa berjuang mempertahankan negara ketika menyampaikan syarahan bertajuk “Hubungan Tentera dan Awam”.
Dalam pada itu, Raja Nazrin menarik perhatian bahawa prinsip dan etika perang di era moden tidak lagi mengandungi nilai kemanusian dan keadilan.
“Kemusnahan tanpa batas yang dilakukan di Iraq, Afghanistan, Palestin dan di kawasan-kawasan sasaran kuasa besar mengiakan kata-kata bahawa yang kuat berhak melakukan apa sahaja dan yang lemah wajib menanggung segala derita,” titah baginda.
Raja Nazrin turut menyentuh penyertaan 25,000 anggota tentera Malaysia dalam tidak kurang 33 misi keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Bukan dasar negara ini melakukan mobiliti tentera ke negara luar untuk berperang dan mencetuskan porak-peranda dengan mana-mana negara dan wilayah di dunia ini, titah baginda.
“Dalam memenuhi misi di peringkat antarabangsa, anggota tentera kita telah mengamalkan disiplin yang tinggi, memperlihatkan sifat keinsanan yang mulia serta mengharumkan nama negara. Mereka adalah satria bangsa, mereka adalah wira negara,” tegas Raja Nazrin.
– Bernama