Sebanyak 30 peratus daripada lebih 5,000 bangunan di seluruh negara masih belum mempunyai sijil kebakaran (FC), kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
Namun beliau berkata hanya bangunan yang besar dan berisiko seperti kompleks membeli-belah sahaja yang memerlukan FC dan bukannya semua bangunan.
“Antara sebab ada bangunan yang masih belum mempunyai FC adalah kerana bangunan tersebut masih belum mematuhi syarat yang ditetapkan untuk memperoleh FC, contohnya seperti bangunan lama.
“Biasanya bangunan lama pelan pun tidak ada. Tapi bila nak dapatkan FC, pelan perlu ada,” katanya kepada pemberita pada Seminar Keselamatan Kebakaran JBPM Putrajaya 2011 hari ini.
Wan Mohd Nor menjelaskan setelah bangunan mempunyai FC, pihak bomba akan memeriksa setiap tahun bagi memastikan keadaan penyelenggaraan peralatan keselamatan kebakaran dan lain-lain di dalam bangunan itu berada dalam keadaan baik.
“Kita perhatikan apabila bangunan ada FC, ia memberikan hasil yang bagus. Maklum balas dari syarikat insurans terutamanya sangat positif kerana bangunan yang berisiko ini kurang berlakunya kecemasan,” katanya.
Beliau berkata pemilik bangunan besar dan berisiko yang tidak mendapatkan FC boleh didakwa di mahkamah.
– Bernama