Kerajaan salur RM35.6 juta kepada sekolah agama di Kelantan

Kerajaan salur RM35.6 juta kepada sekolah agama di Kelantan

Kerajaan persekutuan menyalurkan RM35.6 juta kepada 79 sekolah agama di Kelantan, termasuk RM25.1 juta yang telah dibelanjakan untuk projek menaik taraf infrastruktur dan pembinaan bangunan baru sekolah.

Kerajaan persekutuan menyalurkan RM35.6 juta kepada 79 sekolah agama di Kelantan, termasuk RM25.1 juta yang telah dibelanjakan untuk projek menaik taraf infrastruktur dan pembinaan bangunan baru sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kesempatan sempena lawatannya ke Kelantan untuk menyerahkan peruntukan RM10.5 juta kepada sekolah-sekolah berkenaan pada majlis perjumpaan bersama 1,000 warga pendidik sekolah agama hari ini.

Daripada bantuan RM10.5 juta itu, 51 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) menerima RM140,000 setiap sekolah, 22 Sekolah Agama Rakyat (SAR) mendapat RM100,000 setiap sekolah dan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) mendapat RM200,000 setiap sekolah.

Sebanyak RM25.1 juta dibelanjakan sebelum ini untuk enam projek menaik taraf infrastruktur dan membina bangunan bagi sekolah SABK. Kesemua projek itu siap tahun lepas.

Ia melibatkan Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, Bachok; SMUA Al-Kauthar, Kota Baharu; SMUA Al-Falah, Pasir Mas; SMUA Tengku Amalin Aishah Putri, Kota Baharu; SMUA Darul Salam, Kuala Krai; dan SMUA Saadatul Qura, Kuala Krai.

See also  UTP rises in global rankings: A milestone for Malaysia

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kerajaan pusat amat mementingkan pembangunan Islam kerana ia membantu pembangunan modal insan yang seimbang.

“Kerajaan pusat tidak pernah meminggirkan Islam dalam pembangunan negara kerana Islam menuntut umatnya supaya menjadi maju. Islam tidak mahu umatnya hidup dalam kemunduran,” katanya.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Muhyiddin berkata beliau tidak memandang perbezaan politik dalam soal pendidikan Islam kerana baginya, ilmu agama berfungsi membentuk sahsiah dan moral golongan pelajar yang bakal meneraju negara.

“Saya tak pandang dia Pas ke Umno. Yang saya pandang dia Islam. Saya tak mahu perbezaan politik, lebih-lebih lagi (soal) pendidikan Islam kerana ia wajib dan merupakan fardhu kifayah untuk ditunaikan kepada rakyat,” katanya.

See also  APU partners with OMG to transform media education

Beliau berkata penekanan aspek agama juga dapat melahirkan insan yang mencintai negara selain menghalang anasir tidak sihat daripada memecah-belahkan perpaduan kaum dan umat Islam di negara ini.

Dalam sesi dialog bersama warga pendidik itu, Muhyiddin meminta pihak berkuasa sekolah agama persendirian di Kelantan yang belum berdaftar dengan Kementerian Pelajaran supaya berbuat demikian bagi memudahkan urusan penyaluran peruntukan.

“Kerajaan pusat tidak mahu ambil alih pengurusan sekolah ini. Kita cuma hendak beri bantuan supaya kualiti ilmu tidak terjejas,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan juga sedia memberikan kursus kepada guru sekolah agama supaya dapat mendidik pelajar dengan lebih baik.

– Bernama