PTPTN tidak paksa peminjan buat bayaran jika belum bekerja

PTPTN tidak paksa peminjan buat bayaran jika belum bekerja

PTPTN tidak akan memaksa peminjam yang belum mendapat pekerjaan membuat pembayaran balik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan memaksa peminjam yang belum mendapat pekerjaan membuat pembayaran balik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

“Kerajaan sentiasa sedaya upaya untuk membantu pelajar bagi mendapatkan bantuan kewangan, malah kita juga bermurah hati untuk membantu mereka sekiranya mereka belum mendapat pekerjaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai pendirian kerajaan terhadap peminjam yang belum mendapat pekerjaan.

Timbalan menteri itu turut menegaskan bahawa kerajaan akan membantu peminjam yang disenaraihitam untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sekiranya mereka mendapat tawaran.

“Tidak dinafikan ada di kalangan mereka telah disenaraihitam tetapi jika mereka datang ke PTPTN kita akan bantu mereka kerana mereka mempunyai alasan
yang munasabah,” katanya.

See also  Malaysia secures championship titles at Robothon 2024

Menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Saifuddin berkata kerajaan tidak bercadang meminda dasar PTPTN untuk mencakupi pemberian pinjaman kepada
pelbagai kursus ijazah professional seperti yang dikeluarkan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), Pengurusan Akauntan Berkanun (CIMA) atau Institut Akuantan
Bertauliah England dan Wales (ICAEW).

Kepada soalan Matulidi Jusoh (BN-Dungun) pula, Saifuddin berkata institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak menawarkan yuran pengajian percuma terutama di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Bagaimanapun, katanya, kerajaan menawarkan penajaan untuk penuntut yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan PhD di IPTA dan IPT swasta
terpilih di bawah program MyBrain15 dalam Rancangan Malaysia ke-10 dengan yuran pengajian dibiayai mengikut jumlah maksimum iaitu RM10,000 bagi peringkat Sarjana dan RM24,000 bagi PhD.

See also  Sri KDU’s Arabian Nights musical raises funds for charities

“Program ini terbuka kepada graduan yang belum bekerja, tak berpendapatan tetap dan kakitangan sektor swasta dan pensyarah IPTS,” katanya.

Sehingga 17 Nov ini, seramai 5,481 orang telah diluluskan untuk program tajaan MyBrain15 bagi mengikuti program Ijazah Sarjana dan 1,201 orang untuk
program PhD dalam bidang seperti sains dan teknologi, sains, sains sosial dan sastera.

– Bernama