Atlet termuda Sukan SEA dapat 5A dalam UPSR

Atlet termuda Sukan SEA dapat 5A dalam UPSR

Atlet termuda negara pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia, Nur Najiha Azman Hisham, mencatat kejayaan manis buat dirinya apabila mendapat 5A untuk UPSR.

Atlet termuda negara pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia, Nur Najiha Azman Hisham, mencatat kejayaan manis buat dirinya apabila mendapat 5A dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Keputusan cemerlang itu merupakan kejayaan berganda buat atlet berusia 12 tahun itu yang menyumbang pingat gangsa kepada negara menerusi acara catur campuran standard individu dalam temasya sukan itu semalam.

Ibu kepada Nur Najiha, Zazaluma Harun, 43, berkata dia sudah menjangkakan kejayaan anak ketiga daripada empat beradik itu memandangkan pencapaian konsisten anaknya dalam beberapa siri ujian sebelum ini.

Namun sebagai ibu, dia sentiasa mengingatkan Nur Najiha supaya belajar bersungguh-sungguh dan bijak membahagikan masa antara pelajaran dan pembabitannya dalam sukan catur yang diceburi sejak usia enam tahun.

See also  Sunway Uni hosts inaugural THE Asia Universities Summit

“Saya yakin penglibatannya dalam sukan catur yang memerlukan kemahiran dan perancangan banyak membantunya supaya lebih fokus dalam pelajaran,” katanya
ketika ditemui di sini hari ini.

Zazaluma berkata anaknya, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama di sini, berhajat menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Sains Kuala  Selangor dan bercita-cita menjadi seorang doktor.

Dia berkata keputusan UPSR itu telah dimaklumkan kepada anaknya melalui panggilan telefon pagi ini dan Nur Najiha menerimanya dengan gembira.

– Bernama