Pesakit-pesakit miskin yang tidak mampu membayar caj perkhidmatan perubatan yang diterima di hospital-hospital kerajaan boleh memohon untuk dikecualikan bayaran tersebut.
Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat semalam berkata, permohonan untuk mengecualikan bayaran itu boleh dibuat kepada pengarah-pengarah hospital.
“Kerajaan sedar ada aduan-aduan pesakit yang tidak mampu membayar bayaran rawatan. Sebenarnya, mereka boleh mendapatkan pengecualian bayaran daripada pengarah-pengarah hospital.
“Pengarah hospital ada kuasa untuk mengecualikan bayaran kepada pesakit-pesakit yang tidak mampu,” katanya.
Menurutnya kerajaan juga menyediakan Tabung Bantuan Perubatan untuk golongan tidak mampu mendapatkan bantuan perubatan.
Liow berkata prosedur permohonan juga telah disingkatkan dan permohonan dapat diluluskan dalam tempoh seminggu.
Kementerian turut memberikan biasiswa kepada doktor-doktor di hopital kerajaan yang layak untuk melanjutkan pengajian mereka bagi menjadi doktor pakar dalam usaha kerajaan meningkatkan bilangan doktor pakar di negara ini, katanya.
Beliau berkata pemberian biasiswa itu adalah berdasarkan meritokrasi dan seramai 404 doktor di hospital kerajaan telah diberi biasiswa itu pada 2008, 600 orang pada 2009 dan 804 orang tahun ini.
“Ini merupakan satu cara paling berkesan untuk meningkatkan jumlah pakar-pakar supaya kita dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat disambung hari ini.
– Bernama