Jambatan Pulau Pinang ditutup pagi Ahad ini

Jambatan Pulau Pinang ditutup pagi Ahad ini

Jambatan Pulau Pinang dan beberapa laluan menghala ke arahnya akan ditutup mulai pukul 12 tengah malam hingga 10 pagi pada Ahad ini.

 

Jambatan Pulau Pinang dan beberapa laluan menghala ke arahnya akan ditutup mulai pukul 12 tengah malam hingga 10 pagi pada Ahad ini sempena acara Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang.

Pegawai Penguatkuasa dan Operasi Trafik Kontijen Polis Pulau Pinang ASP Ahmad Ezzely Razali berkata jalan-jalan yang ditutup itu ialah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Lebuhraya Tunku Kudin dan Lebuhraya Sungai Nibong.

“Keseluruhannya sebanyak 30 laluan dan jalan ditutup serta dilencongkan bagi memastikan Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang diadakan dengan lancar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya antara jalan yang dilencongkan ialah susur keluar Jalan Pantai Jerejak, Jalan Sultan Ahmad Shah, simpang Jalan Sungai Pinang, simpang Hajjah Rehmah dan Gat Lebuh Cecil.

See also  UA Combine 2024 pushes competitors to new heights

Beliau berkata orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif antaranya Jalan Jelutong, Jalan Bukit Gambir, Jalan Masjid Negeri, Bulatan Gelugor, Jalan Yap Chor Ee dan Jalan Tun Dr Awang.

Ahmad Ezzely turut menasihatkan orang ramai merancang perjalanan mereka dan mematuhi arahan polis trafik yang bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas pada hari itu.

“Seramai 395 pegawai serta anggota polis akan bertugas pada hari tersebut, dan mereka akan ditempatkan di bahagian pulau dan juga di Seberang Prai untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Katanya orang ramai yang ingin ke Seberang Perai dan sebaliknya, mereka boleh menggunakan perkhidmatan feri yang akan beroperasi selama 24 jam pada hari berkenaan.

See also  Carlsberg Golf Classic wraps up 31st edition with thrilling finale

“Orang ramai yang menghadapi kecemasan atau sebarang masalah berhubung lalulintas pada hari berkenaan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang 04-2221722,” katanya.

Sebanyak 25,000 pelari dari dalam dan luar negara dijangka menyertai acara maraton tahunan itu.

– Bernama