ABIM: Kebebasan LGBT bercanggah semua agama

ABIM: Kebebasan LGBT bercanggah semua agama

ABIM menggesa pihak yang memperjuangkan hak asasi golongan LGBT ini menghormati keluhuran undang-undang negara demi menjaga keharmonian rakyat.

Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim Mohamad, Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Photo from tokyosuicide.tumblr.com
Photo from tokyosuicide.tumblr.com

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada forum “Human Right for LBTIQ: Making it Real in Malaysia” anjuran Majlis Peguam Malaysia dan penganjuran aktiviti yang mempromosi nilai dan hak golongan LGBT oleh Kumpulan Seksualiti Merdeka sepanjang bulan November ini.

ABIM memandang serius perkembangan golongan tersebut yang mutakhir ini begitu berani
menuntut secara terbuka agar undang-undang Malaysia memberikan hak kepada golongan LGBT atas nama kebebasan hak asasi manusia sejagat.

Kebebasan hak asasi yang dilaungkan oleh golongan LGBT ini adalah bukan sahaja bercanggah dengan ajaran agama Islam malah semua agama telah mengharamkam perhubungan sejenis sesama manusia. Ia adalah nilai songsang dalam masyarakat, dan agama mendefinisikannya sebagai di luar tabi’e.

Selain itu, dalam sejarah ketamadunan manusia, golongan yang mengamalkan dan memperjuangkan kebebasan homoseks ini dianggap sebagai golongan pelampau (al-‘adun) yang telah dibinasakan oleh Allah.

Undang-undang negara adalah berasaskan agama. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengangkat Islam sebagai agama persekutuan, disamping turut memperuntukkan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan di seluruh persekutuan.

See also  Human Rights Day forum advocates ethical business practices

Kerana itu mana-mana tindakan yang bertentangan dengan agama adalah dianggap satu kesalahan.

Kanun Keseksaan, di bawah Seksyen 377 telah menjelaskan bahawa perbuatan perhubungan sesama jantina adalah termasuk di bawah perbuatan di luar tabi’e dan ianya menjadi suatu kesalahan.

Malah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri ia adalah suatu kesalahan syariah sekiranya dilakukan oleh orang Islam.  Begitu juga dalam konteks perkahwinan, undang-undang negara telah mengharamkan perkahwinan sesama jenis.

ABIM berpandangan sekiranya kebebasan asasi ini diangkat dan diiktiraf oleh undang-undang banyak implikasi perundangan boleh berlaku. Antaranya perhubungan sejenis ini akan diiktiraf, perkahwinan sesama jantina menjadi sah, dan pertukaran jantina boleh menjadi suatu yang halal di negara ini.

ABIM ingin melahirkan kebimbangan sekiranya perkara ini berlaku, maka kehancuran sistem nilai dalam masyarakat akan menjadi parah. Sistem institusi keluarga juga bakal menuju kehancuran.

Selain itu, perjuangan LGBT ini jelas bercanggah dengan nilai-nilai moral dan kesusilaan seperti mana yang terkandung dalam falsafah negara.

Unsur negatif ini yang meresap dalam masyarakat akan menggagalkan sistem moral dan norma-norma ketimuran yang boleh menjerumus kita untuk menjadi seperti negara Barat yang tidak lagi berpegang kepada prinsisp agama dalam kehidupan.

See also  Human Rights Day forum advocates ethical business practices

Justeru, ABIM menggesa pihak yang memperjuangkan hak asasi golongan LGBT ini menghormati keluhuran undang-undang negara demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

ABIM turut menggesa agar kumpulan terbabit menghormati sensitivi masyarakat beragama di negara ini dengan tidak mempromosikannya secara terbuka kerana dikhuatiri mampu menggugat ketenteraman awam dan keamanan negara selain mencipta fenomena yan tidak sihat di kalangan masyarakat.

ABIM menyeru agar semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, jabatan kerajaan, dan masyarakat keseluruhannya menolak perjuangan kumpulan yang mendokong LGBT ini, dan mengecam secara khusus Kumpulan Seksualiti Merdeka yang telah menjadikan bulan November sebagai bulan meraikan aktiviti songsang yang bercanggah dengan nilai moral dan agama.

ABIM menyambut baik ketegasan pihak PDRM dalam menangani kumpulan terbabit.Oleh itu, ABIM berharap agar lain-lain agensi penguatkuasaan seperti JAKIM, dan Jabatan Agama Islam Negeri dapat memainkan peranan yang lebih serius dan progresif khususnya dalam soal pemantauan dan pencegahan supaya aktiviti mereka tidak terus mencemarkan institusi moral masyarakat.