Dua pelanggan sebuah bank di Taman Sentosa cedera ringan akibat terkena serpihan jubin lantai selepas seorang pengawal keselamatan di bank berkenaan terlepas tembakan senapangnya semalam.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 3.40 petang yang menyebabkan seorang lelaki, Lee Chai Sing, 56, cedera di kepala manakala seorang wanita berumur 30an cedera di kaki.
Lee, seorang kontraktor, ketika ditemui berkata dia pada mulanya menyangka berlaku rompakan di bank tersebut apabila terdengar bunyi tembakan dari belakangnya ketika dia sedang mengeluarkan wang dari ATM.
“Saya amat terkejut kerana bunyi itu amat kuat dan berasa sakit di kepala. Apabila saya menoleh, pengawal keselamatan tersebut mengatakan senapang itu telah terjatuh dan ianya hanya satu kemalangan.
“Saya dapati ada seorang wanita turut cedera di kaki kanan dan dia sudah dihantar oleh suaminya untuk mendapatkan rawatan,” katanya di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
Difahamkan senapang ‘pump-gun’ itu kini diambil polis dan pengawal keselamatan berusia 50an terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan.
– Bernama