Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan pendapatan RM200 juta dari eksport lada pada tahun ini, kata Menterinya, Tan Sri Bernard Dompok.
Katanya, sejak tahun lepas, harga lada hitam dan lada putih “sangat menggalakkan” di pasaran dunia apabila purata harga lada hitam dicatatkan RM13,484 setan metrik dan lada putih RM22,029 setan metrik.
“Pada 4 Nov, harga lada hitam dan putih masing-masing meningkat kepada RM17,000 dan RM27,300 setan metrik, iaitu yang terbaik pernah dicapai di dalam sejarah lada negara ini,” katanya sebelum mentauliahkan kilang pemprosesan wap bernilai RM7.2 juta di Cawangan Sibu Lembaga Lada Malaysia hari ini.
Lada, katanya kini menjadi penyumbang kelima terbesar pendapatan komoditi eksport negara itu.
“Tahun lepas, Malaysia mengeksport lada bernilai RM198 juta berbanding dengan RM154 juta pada tahun sebelumnya.”
“Dari Januari hingga Oktober tahun ini, kita telah melihat peningkatan pendapatan sebanyak 29 peratus kepada RM155 juta daripada RM119 juta bagi tempoh yang sama sebelum ini,” katanya.
Dompok menyeru para pekebun kecil, terutama di negeri ini, untuk terus berusaha keluasan sekarang atau mengembangkan ladang lada masing-masing kerana sekarang ini adalah masa terbaik bagi lada kerana pulangannya sangat tinggi bagi para pekebun kecil.
Kilang pemprosesan itu, yang merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kerajaan untuk menaik taraf kualiti dan kesegaran lada dan produk sampingannya, mensterilkannya bagi mengurangkan kulat dan keracunan yis bagi memenuhi spesifikasi asing, katanya.
“Produk lada berbeza dari segi kualiti sedemikian yang boleh meningkatkan permintaan dan menjadikan lada negeri itu lebih kompetitif di dalam pasaran Eropah, Jepun, Korea Selatan dan Australia,” katanya.
Bercakap kepada media kemudiannya, Dompok berkata walau pun minyak sawit dan getah mencapai harga yang lebih baik, para peladang lada tidak memerlukan kawasan tanah yang luas.
“Minyak sawit adalah berintensifkan tenaga kerja dan sebaik dituai, anda perlu menghantar buahnya ke kilang terdekat dalam tempoh 24 jam,” katanya, sambil menyatakan ini akan menjadi masalah yang mahal bagi para pekebun kecil yang tinggal jauh di pedalaman dan tiada hubungan jalan yang baik.
Dompok berkata walau setiap hektar kedua-dua tanaman itu memberikan jumlah tuaian yang sama (kira-kira 4.0 tan metrik minyak sawit atau buah lada) lada menawarkan pendapatan yang lebih baik berikutan harganya yang tinggi.
“Bagi lada hitam, anda boleh tuai di dalam tempoh antara dua dan dua setengah tahun dan tidak memerlukan tanah yang luas,” katanya.
Katanya lembaga itu kini menggalakkan para petani menanam lada di Semenanjung Malaysia, di mana 252 hektar telah ditanam dan di Sabah 30 hektar.
Sarawak terus menjadi pengeluar utama negara ini dengan 14,453 hektar dan lebih banyak kawasan sedang ditambah perlahan-lahan.
– Bernama