Rumah terbuka aidilfitri merapatkan silaturahim

LIKAS – Kemesraan di antara kaum terserlah apabila tibanya musim perayaan yang membantu mengeratkan silatulrahim.

Mengadakan rumah terbuka setiap kali musim perayaan seperti sudah menjadi satu amalan wajib terutamanya di kalangan wakil rakyat.

Tidak kira sama ada perayaan Aidilfitri, Deepavali atau pun Tahun Baru Cina, rumah terbuka menjadi medan pertemuan untuk merapatkan lagi ikatan silaturahim tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama.

Yang pasti, sambutan rumah terbuka tahun ini lebih meriah hasil kejayaan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut tidak terkecuali di dalam mengadakan rumah terbuka aidilfitri ialah Ketua Wanita UMNO Kudat Datin Aminah Ambrose yang mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kampung Likas, kelmarin.

”Pelbagai perayaan yang disambut merapatkan persaudaraan di antara kaum dan saya berharap hari raya tahun ini membawa kesejahteraan kepada keseluruhan rakyat,” katanya semasa ditemui.

See also  Sukha Charity Fair 2024: A celebration of community spirit

”Kita lihat setiap penganjuran rumah terbuka dan kegiatan yang berkaitan dengan sambutan perayaan pasti mendapat sambutan meriah dengan kehadiran pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.

”Ia merupakan satu pendedahan baik kepada tetamu yang terdiri daripada kaum- kaum lain,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Ketua Puteri UMNO Sepanggar Aziah Atoh berkata, budaya murni itu perlu dipupuk di peringkat awal agar ianya menjadi satu tradisi yang wajib diteruskan oleh generasi seterusnya dalam usaha meningkatkan perpaduan kaum.

”Kita perlu bersama-sama meraikan perayaan seperti ini supaya kita akan lebih mesra antara satu sama lain,” katanya.

Keistimewaan itu juga mendorong setiap kaum agar bersatu mempertahankan imej negara, katanya lagi sambil menambah bahawa pencapaian dan kejayaan negara selama ini adalah disebabkan perpaduan dan persaudaraan antara kaum yang diamalkan secara turun-temurun.

See also  Bandar Alam Suria hosts community festivities

Gary Louis Supi