Sebanyak 407 kes demam denggi dilaporkan pada minggu ke-43 tahun ini untuk tempoh 23 hingga 29 Okt lepas tanpa kematian direkodkan, namun meningkat berbanding 369 kes sebelum ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman berkata Kuala Lumpur dan Putrajaya mengalami peningkatan kes sejak lima minggu berturut-turut, manakala Sarawak, Kedah, Perak, Terengganu, Melaka, Pahang, Perlis dan Pulau Pinang turut mencatatkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.
“Kolej ke-12 Universiti Malaya (UM) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras adalah lokaliti hot spots pada minggu ke-43 dengan 21 kes dilaporkan di UM dan 16 lagi di PPR itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Hassan berkata sempena cuti sekolah yang akan bermula tidak lama lagi, pihak sekolah juga diminta mengambil langkah-langkah mencegah dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes terutamanya di kolam hiasan, pasu bunga dan lanskap yang boleh menakung air.
“Ubat pembunuh jentik-jentik perlu dimasukkan ke dalam tangki pam tandas dan semua mangkuk tandas yang mungkin tidak digunakan semasa cuti persekolahan,” kata beliau.
Katanya program bebas denggi di sekolah perlu lebih giat dilaksanakan supaya tidak berlaku sebarang pembiakan jentik-jentik Aedes di kawasan sekolah.
– Bernama