U Mobile Sdn Bhd hari ini mengumumkan pelanggannya yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan pada Isnin akan menerima SMS dan data percuma bernilai lebih RM30 juta sebagai tanda simpati syarikat kepada pelanggannya.
Semua pelanggan U Mobile, prabayar dan pascabayar boleh menghantar SMS percuma sepanjang hari kepada semua pengendali di Malaysia pada 10 Nov, 10 Dis dan 10 Jan, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Selain itu, pengguna pakej data bulanan akan menerima data percuma tambahan500MB setiap bulan dari 10 Nov hingga akhir Januari 2012.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Dr Kaizad Heerjee berkata dalam satu kenyataan yang diposkan di laman web U Mobile: “Kami ingin memohon maaf di atas gangguan perkhidmatan yang anda alami pada 31 Okt, Isnin.
“Seperti yang diyatakan dalam laman Facebook kami pada petangnya, ini adalah disebabkan oleh masalah yang tidak dijangka semasa kerja-kerja menaik taraf rangkaian kelajuan tinggi kami,” katanya.
– Bernama