Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Tengkera, yang pertama di negeri ini, dibuka kepada orang ramai semalam dan mendapat sambutan memberansangkan daripada penduduk setempat terutama rakyat berpendapatan rendah.
KR1M kini dibuka kepada orang awam di kawasan perumahan rakyat di Rumah Pangsa Al-Ikhsan, Tengkera.
Kedai yang diuruskan pasaraya Mydin itu adalah yang pertama dibuka di luar Lembah Klang dan dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan terdiri daripada pelbagai kaum mula mengunjungi kedai itu seawal pukul 8 pagi.
Sebahagian besar penduduk yang tinggal di kawasan perumahan pangsa itu juga merupakan rakyat berpendapatan rendah dan mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Barangan menggunakan logo 1Malaysia di kedai itu dijual dengan harga yang lebih murah seperti beras lima kilogram dijual pada harga RM11.50 berbanding harga runcit biasa RM13, beras 10 kilogram (RM21.99 berbanding RM26), bihun (RM1.39), telur 30 biji (RM9.29) dan sardin 425g (RM2.99).
Seorang pengunjung, G. Gheeta, 23, berkata pemilihan lokasi KR1M di kawasan itu tepat pada masanya memandangkan kebanyakan penduduk di situ berpendapatan rendah.
“Harga barangan keperluan yang ditawarkan adalah berpatutan dan mampu beli oleh golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada Bernama
Lai Yee Wah, 72, berkata walaupun tidak semua barangan keperluan yang ditawarkan di KR1M pada harga rendah, barangan keperluan seperti minyak dan beras boleh didapati pada harga berpatutan.
Beliau berkata lokasi kedai itu juga amat strategik dan memudahkan penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu lagi ke pusat bandar.
Manakala Aidil Karim, 42, berkata pembukaan KR1M di kawasan itu membuktikan kerajaan dan Mydin mementingkan kebajikan rakyat berpendapatan rendah dengan menawarkan belian barangan keperluan denga harga yang murah dan berpatutan.
– Bernama