Mulai tahun depan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan operasi secara besar-besaran di seluruh negara memandangkan kadar kemalangan pengguna motosikal semakin kritikal.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad berkata perkembangan ini boleh dilihat pada data-data Ops Sikap sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang menyaksikan kemalangan membabitkan pengguna motosikal meningkat kepada 61.6 peratus berbanding 59.7 peratus pada tahun lepas.
“Kalau kita tengok dalam tempoh 2001-2010, kadar kemalangan maut di kalangan pengguna motosikal ialah 58.2 peratus,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Inovasi JPJ Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JPJ negeri Abdul Rahman Emang Anyie.
Ismail berkata memandangkan masalah motosikal begitu kritikal di Terengganu, negeri itu dipilih sebagai perintis operasi tersebut diikuti negeri-negeri yang lain dari semasa ke semasa.
Beliau berkata hasrat JPJ untuk mengurangkan kadar peratus kemalangan maut tidak akan berjaya sekiranya ada peningkatan kemalangan di kalangan pengguna motosikal.
Ismail berkata JPJ telah mengeluarkan saman terhadap pengguna motosikal sepanjang Op Sikap yang lalu di Terengganu sebanyak 1,807 dan 12 buah di sita atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata pada Hari Raya Aidiladha ini JPJ akan mengadakan operasi secara sederhana di seluruh negara.
Sementara itu, katanya usaha ke arah kecemerlangan adalah satu usaha yang berterusan, tanpa had waktu atau batasan.
“Hari inovasi hendaklah dilihat sebagai hari bagi mengulangi iltizam atau komitmen warga JPJ kepada kerajaan dan rakyat,” katanya.
– Bernama