Eddy Salim: Wakafkan tanah kubur Orang Asli Seletar Laut

JOHOR – Tanah perkuburan orang laut menjadi kontroversi pada permulaan tahun ini apabila jentolak milik pemaju menceroboh kawasan kubur ini. [VIDEO]

“Wakafkan tanah kubur kami. Kami akan pertahankan tanah adat kami,” itulah yang diujarkan oleh Eddy Salim, wakil Jaringan Orang Asli Seletar Laut bagi masyarakat orang laut dari Perkampungan Orang Laut Sungai Temuan dekat sini.

Tanah perkuburan orang laut menjadi kontroversi pada permulaan tahun ini apabila jentolak milik pemaju menceroboh kawasan kubur ini untuk tujuan pembersihan hutan dan belukar.

Apabila menyedari perbuatan ini, orang laut yang marah terus melarang pemaju dari terus menceroboh dan memusnahkan kubur nenek moyang mereka. Lantas, kerja kerja pembersihan dihentikan dengan serta merta.

Cukup jelas kemarahan masyarakat orang laut di sini bukan terhadap pemaju yang menceroboh tetapi ke atas Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Johor (JAKOA) dan kerajaan negeri yang gagal melibatkan sama wakil orang laut dalam perbincangan membangunkan tanah tersebut yang terletak dalam Kawasan Pembangunan Iskandar.

See also  Human Rights Day forum advocates ethical business practices

Eddy juga memberitahu bahawa JAKOA bercadang untuk menempatkan semula perkampungan orang laut itu ke kawasan Pendas.

“Kenapa orang laut tidak dipanggil untuk berbincang? Adakah takut dengan kami? Pasti kami tidak akan setuju dengan cadangan pemindahan kerana ini adalah tanah nenek moyang kami. Tak tentu kalau berpindah, tanah di Pendas akan jadi milik kepada orang laut,” ujarnya lagi.

Menurut Eddy lagi, kehidupan dan nafkah pencarian orang laut yang hidup sekitar kawasan Sungai Danga mula terancam apabila pelbagai projek pembangunan dimulakan di kawasan ini.

Katanya lagi, orang laut yang berkerja sebagai nelayan tidak mungkin akan dapat mengubah budaya hidup mereka menjadi pekebun atau peladang sekiranya dipindahkan ke tempat lain.

See also  Human Rights Day forum advocates ethical business practices

“Laut dan orang kami tidak dapat dipisahkan,”katanya lagi. “Kalau kami dipindahkan ke kawasan pedalaman, macan mana nak cari rezeki? Sama juga macam awak, kalau saya campak awak di laut, boleh cari rezeki?’ soalnya lagi.

Penempatan dan kehidupan orang laut di negeri Johor semakin terancam apabila banyak kawasan ini diwartakan untuk pembangunan di bawah rancangan Kawasan Pembangunan Iskandar atau lebih dikenali dengan Iskandar Development Region (IDR).

Setakat ini, masih tidak ada kata putus daripada kerajaan negeri mengenai nasib dan rancangan alternatif untuk masyarakat orang laut. Yang pasti, orang laut di sini tidak akan berganjak dari pendirian mereka untuk pertahankan tanah adat mereka.

Saminathan