Projek Aliran Transit Massa (MRT) tidak akan melibatkan pengambilan tanah di Jalan Sultan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam.
“Oleh itu, tidak timbul isu penjajaran semula atau pengambilan tanah di Jalan Sultan. Perkara ini dipersetujui pada pertemuan saya dengan ketua pegawai eksekutif MRT Co Azhar Abdul pada Isnin,” kata Mohd Nazri kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis yang membicarakan tentang penghapusan hukuman mati di Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Beliau berkata MRT Co juga bersetuju membayar pampasan kepada pemilik harta di Jalan Sultan yang dijangka mengalami kerugian daripada segi perniagaan apabila mereka dikehendaki meninggalkan harta masing-masing dalam tempoh pembinaan projek itu.
Kini, terserahlah kepada pemilik tanah di Jalan Sultan untuk membuat keputusan sama ada menerima cadangan MRT Co itu atau sebaliknya, kata beliau.
– Bernama