Wakil rakyat Kuamut Masiung Banah Masiung menggesa ibubapa membantu para guru memberi komitmen yang tinggi dalam menyalurkan pendidikan, khususnya pendidikan pra-sekolah kepada anak-anak.
Perkara itu penting sebagai persediaan awal anak-anak melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi kata Masiung ketika menghadiri Majlis Graduasi prasekolah Sekolah Kebangsaan Bukit Garam 2.
Menurutnya, kerajaan telah banyak memberi bantuan kepada semua peringkat sekolah dan ibubapa seharusnya menggunakan sepenuhnya bantuan tersebut demi masa depan keluarga.
Katanya, ibubapa juga tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada guru-guru dalam memberi pendidikan kepada anak-anak sebaliknya menyalurkan pendidikan ketika berada di rumah.
Ibubapa juga sebaiknya mempunyai kesedaran dengan membantu anak-anak menyelesaikan semua tugas yang diberi guru kepada anak-anak, tambah beliau.
Jelasnya, ia bagi memastikan anak-anak terus mendapat dorongan dan sokongan daripada ibubapa dan keluarga agar anak-anak terus mempunyai semangat untuk belajar.
Seramai 52-pelajar dari prasekolah Sk Bukit Garam 2 menerima sijil tamat prasekolah pada majlis itu.
Dalam perkembangan berlainan, beliau menyokong penuh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Kinabatangan atas usaha pusat itu mendapatkan sebidang tanah bagi mendirikan sebuah bangunan sendiri.
Dia berkata, walaupun usaha tersebut belum tercapai sepenuhnya, namun ia memperlihatkan pusat tersebut mempunyai misi dan visi yang mampu merealisasikan usaha kerajaan membantu golongan OKU maju seiring pembangunan masa kini.
Jelasnya lagi bahawa, bagi memastikan usaha itu tercapai, beliau sendiri akan berjumpa dengan Pengarah Kebajikan Sabah bagi memohon peruntukkan membina bangunan tersebut.