Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas mendapat pelbagai reaksi dari rakyat Labuan.
Kebanyakan bersetuju dengan bajet yang dibentangkan itu, namun ada yang berpendapat bahawa masih terdapat banyak kelemahan yang tidak diteliti.
Melalui temu bual eksklusif dengan Exco Gerakan Majlis Pengguna Negeri Labuan, Tuan Hj. Shuib Nasir berkata beberapa perkara perlu dipertimbangkan dalam bajet ini termasuk: aspirasi kerajaan dalam menurunkan harga barangan harian melalui penubuhan kedai 1Malaysia. Langkah-langkah ini adalah dialu-alukan, terutamanya di Labuan kerana harga barang-barang agak mahal berbanding dengan negeri-negeri lain di seluruh negara. Jadi penubuhan kedai 1Malaysia harus dipercepatkan di Labuan kerana harga barang-barang yang tidak terkawal dan konsep monopoli yang berleluasa di negeri itu.
“Keprihatinan kerajaan dalam kesejahteraan rakyat juga amatlah penting, walaupun ia kurang memberi faedah kepada rakyat yang tidak menduduki kawasan yang terbabit, contoh pengurangan kadar tambang monorail dan LRT kepada warga emas, ini kerana hanya penduduk yang berada di Lembah Klang yang akan menikmati faedah ini, seharusnya tawaran ini juga perlu diberikan kepada pengangkutan awam seperti bas, feri dan sebagainya yang diguna oleh penduduk Labuan, Sabah, Sarawak dan pendalaman Semenanjung Malaysia.
Beliau juga berkata Belanjawan 2012 merangkumi sektor pendidikan dengan baik, terutamanya dari segi yuran pendidikan sekolah rendah dan menengah, tetapi beliau berpendapat, kerajaan seharusnya menyediakan biayasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan yang ramai di Labuan, Sabah dan Sarawak untuk mengambil kursus profesional seperti pengurusan peringkat tinggi, kedoktoran, kejuruteraan dan seumpamanya sebagai langkah mengatasi kekurangan pakar-pakar di kawasan pedalaman.
Secara keseluruhannya belanjawan 2012 yang dibentangkan itu memang sesuai dengan keadaan ekonomi semasa, tetapi kumpulan sasar perlu diperkemaskan lagi kerana jika dilihat secara telus, belanajawan tersebut hanya banyak memberi faedah kepada penduduk di Semenanjung Malaysia.