Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan kematian pengasas bersama Apple Inc, Steve Jobs, bukan saja suatu kehilangan bagi syarikat itu tetapi juga masyarakat sejagat.
Jobs, 56, merupakan ikon penting pada Era Baru, katanya apabila diminta mengulas kematian bekas ketua eksekutif Apple itu di Palo Alto, California, hari ini.
Sambil menyatakan beliau adalah pengguna dua produk Apple, Najib berkata Jobs juga adalah seorang yang berpandangan jauh dalam dunia komputer seperti yang terbukti melalui idea yang beliau miliki dan produk yang beliau hasilkan.
Jobs menjadi peneraju utama di sebalik penciptaan iPhone, iPad, iPod, iMac dan iTunes keluaran Apple.
Syarikat itu berkata ia kehilangan seorang genius yang berpandangan jauh dan kreatif, manakala dunia pula kehilangan seorang manusia yang sungguh menakjubkan.
Apple menganggap kepintaran, semangat dan ketekunan Jobs sebagai “sumber inovasi yang tidak terhitung jumlahnya dalam memperkaya dan menambah baik kehidupan kita semua”.
– Bernama