Oleh Rudy Rukimin
Pertubuhan berita hendaklah menyediakan peruntukan untuk membeli peralatan berkaitan dan memberi latihan kepada wartawan yang membuat liputan di kawasan dipenuhi suasana permusuhan.
Matt Walsh yang pernah bekerja dengan Cable News Network (CNN) berkata penting bagi wartawan mempunyai pengetahuan dan faham semasa bertugas melaporkan di kawasan berisiko tinggi mengalami bencana alam, di zon konflik dan diserang wabak penyakit bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.
Katanya, sudah sampai masa untuk memberi latihan yang betul kepada wartawan terutama mereka yang membuat liputan di zon konflik berbeza sebelum ini di mana media yang membuat liputan di tempat kejadian tidak terdedah kepada bahaya
seperti sekarang.
“Media kini juga menjadi sasaran,” katanya semasa menjawab pertanyaan wartawan yang menghadiri satu ceramah mengenai protokol media ketika membuat liputan bencana, wabak penyakit dan kawasan konflik anjuran Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, hari ini.
Walsh berkata satu sebab utama mengapa media menjadi sasaran adalah kerana tindakan sesetengah kumpulan tidak berpuas hati yang menganggap laporan media tidak menyebelahi pihak mereka.
Katanya, bagi liputan kawasan yang diserang wabak, pihak pertubuhan berita boleh membeli peralatan perlindungan khas seperti topeng muka secara murah dan berkualiti baik melalui internet.
Menurut Walsh, wartawan tidak sepatutnya mendedahkan diri mereka semasa bertugas di kawasan yang bersengketa, sekiranya mereka berpendapat ia sesuatu yang sangat bahaya tanpa mendapat latihan betul dan punya peralatan.
Pada waktu yang sama, katanya, mereka juga berhak menolak tugasan itu sekiranya diarahkan oleh majikan.
Maklumat lanjut mengenai keselamatan bagi wartawan bertugas di kawasan bermusuhan boleh didapati menerusi laman sesawang www.cpj.org,www.icfj.org,www.journalistatrisk.org,www.dartcenter.org and www.newssafety.com.
Walsh berpengalaman kira-kira 30 tahun berkhidmat dengan media yang terakhir sekali selama 12 tahun bersama CNN International, CNN Headline News dan CNN Airport Network.
Beliau pernah bertugas sebagai ketua pelatih bagi staf baru, wartawan vetran di CNN Hong Kong, dan mengendalikan seminar latihan untuk Asia-Pacific Broadcasting Union.
– Bernama