Sebuah stor penyimpanan perabot dan barang dapur di Jalan Bandar Dalam, Gombak, di sini musnah dalam satu kebakaran tengah malam tadi dengan kerugian dianggarkan RM6 juta.
Bangunan itu dahulu merupakan kilang getah milik Lian Hin Rubber Corporation Sdn Bhd tetapi telah diubahsuai menjadi stor perabot dan barang dapur seperti bawang, tepung dan cili kering.
Ketua Balai Bomba Sentul, Zahari Muhamad, berkata kebakaran dilaporkan berlaku pada 12.41 pagi dipercayai berpunca daripada litar pintas di satu bahagian stor itu sebelum merebak ke bahagian bangunan itu.
“Kejadian disedari oleh seorang pekerja lelaki yang tinggal di dalam stor itu yang memaklumkannya kepada pihak bomba,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Zahari berkata 70 anggota menggunakan lapan jentera bomba dari Sentul, Gombak Selatan, Chow Kit, Hang Tuah, Wangsa Maju, Seri Hartamas, Setapak dan Taman Desa hanya berjaya mengawal kebakaran psepenuhnya pada 9 pagi tadi.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Beberapa penduduk yang tinggal berdekatan stor itu menceritakan pengalaman yang menakutkan apabila melihat api yang menjulang tinggi dan merebak dengan pantas.
Rosnani Muhamad, 51, suri rumah yang tinggal berhadapan dengan stor itu, berkata bahawa pada 1 pagi beliau terdengar bunyi bising di luar rumahnya dan bergegas keluar untuk melahat apa yang berlaku.
“Saya dan suami keluar rumah dan melihat api yang menjulang tinggi sedang marak membakar stor dan orang ketika itu ramai serta polis sudahpun berada di tempat kejadian,” katanya.
Seorang lagi suri rumah, Rohani Abdul Malik, 50, berkata ketika kejadian beliau sedang tidur sebelum dikejutkan oleh suaminya.
“Suami saya memberitahu ada kebakaran berlaku di hadapan rumah kami, saya terkejut dan terus menggigil kerana takut sekiranya api merebak ke rumah. Semua penduduk yang tinggal berdekatan dengan stor itu diarah oleh bomba supaya keluar rumah,” katanya.
– Bernama