Tujuh ditahan berhubung kes tipu pindah wang guna internet

Tujuh ditahan berhubung kes tipu pindah wang guna internet

Empat lelaki termasuk tiga warga asing dan tiga wanita tempatan ditahan berhubung siasatan penipuan memindahkan wang menggunakan internet yang membabitkan kerugian hampir RM250,000 baru-baru ini.

Empat lelaki termasuk tiga warga asing dan tiga wanita tempatan ditahan berhubung siasatan penipuan memindahkan wang menggunakan internet yang membabitkan kerugian hampir RM250,000 baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Syed Ismail Syed Azizan berkata kesemua tujuh individu berumur antara 20 hingga 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Millenium Square, Petaling Jaya pada 10 dan 12
Sept.

Katanya suspek yang ditahan terdiri masing-masing seorang lelaki warga Sierra Leonne, Jordan, Pakistan, lelaki tempatan dan tiga wanita tempatan.

Mereka yang ditahan ini termasuk perancang sindiket dan suspek utama, seorang lulusan kolej swasta yang mahir dalam rangkaian internet manakala suspek lain bekerja sendiri dan ada yang berstatus pelajar, katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas set komputer, buku akaun simpanan pelbagai bank, kad mikro pelbagai syarikat telekomunikasi, salinan kad pengenalan dan lain-lain dokumen yang relevan dalam kes itu dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 15 Sept, katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

“Kita telah membuka kertas siasatan sejak awal tahun ini selepas 12 kes dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM242,321.14. Pada tarikh tersebut (10 dan 12 Sept), risikan kita berjaya mengesan kesemua suspek di beberapa lokasi di
kawasan perumahan tersebut sebelum menahan mereka”.

Syed Ismail berkata  modus operandi anggota sindiket tersebut ialah menggunakan teknik ‘phishing’ dan ‘hijack sim kad pemilik telefon’ dan mensasarkan kiosk di beberapa bank di sekitar Lembah Klang.

(Phishing ialah perbuatan mendapatkan maklumat sensitif melalui kiosk seperti nama pengguna, kata laluan dan maklumat kad kredit dengan menyamar sebagi entiti sah dalam komuniksi elektronik).

“Sindiket ini akan mendapatkan maklumat perbankan internet mangsa seperti username, ID password dan nombor telefon menggunakan teknik phishing selepas mangsa berurusan di kiosk bank dengan memuat turun maklumat dari kiosk ke dalam thumb drive atau laptop mereka menerusi satu software khas.

“Setelah memperolehi kesemua maklumat tersebut, sindiket akan menyamar sebagai pekerja syarikat telco dan memberitahu kononnya talian mangsa akan terganggu selama beberapa jam kerana kerja naik taraf.

“Kemudian di peringkat seterusnya, ahli sindiket warga tempatan pula akan berperanan untuk hadir di mana-mana cawangan syarikat telco untuk mendapatkan gantian sim kad tanpa pengetahuan mangsa,” katanya.

Syed Ismail berkata anggota sindiket itu akan hadir ke syarikat telco dengan membawa laporan polis palsu yang direka sendiri serta salinan kad pengenalan mangsa bagi memperdayakan pekerja syarikat telekomunikasi untuk membatalkan kad sim mangsa dan menyerahkan kad sim baru kepada anggota sindiket.

Anggota sindiket kemudian akan menggunakan kad sim baru itu untuk mendapatkan Transaction Authorisation Code (TAC) bagi membuat transaksi pemindahan wang melalui internet, katanya.

“Mereka akan menggunakan TAC baru untuk membuat pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga melalui transaksi perbankan internet ataupun melalui perkhidmatan Western Union tanpa pengetahuan mangsa.

“Pemilik sebenar hanya menyedari kad simnya telah diambil oleh ahli sindiket apabila mereka membuat semakan dengan syarikat telco setelah talian komunikasi mereka tidak aktif lebih dua jam,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut ke atas sindiket itu  mendapati kali terakhir mereka menjalankan jenayah penipuan itu adalah pada 27 Ogos lalu di Petaling Jaya melibatkan kerugian hampir RM50,000.

Syed Ismail berkata polis menasihatkan syarikat telekomunikasi agar memperketatkan lagi prosedur dalam urusan penggantian kad sim dan juga permohonan baru.

“Agensi perbankan diminta mempertingkatkan tahap keselamatan sistem perbankan internet bagi mengelakkan pencerobohan dan salah guna oleh sindiket.

“Pemilik akaun perbankan internet hendaklah sentiasa memeriksa transaksi akaunnya dan tidak mendedahkan maklumat perbankan internet kepada mana-mana pihak sama ada melalui e-mel atau panggilan telefon,” katanya.

– Bernama