Warga Klang kini menikmati kemudahan taman rekreasi yang lebih selesa apabila kerja-kerja menaik taraf Taman Rakyat di Jalan Tun Dr Ismail siap dilaksanakan Ogos lalu, di sini.
Majlis Perbandaran Klang (MPK) mempertingkatkan kemudahan rekreasi itu yang menjadi tumpuan yang sentiasa tidak lekang dengan pengunjungnya tanpa mengira hari ataupun waktu sama ada pagi, petang mahupun malam.
Pengarah Jabatan Taman dan Rekreasi MPK, Muhammad Hijjaz Sanusi berkata, Taman Rakyat yang terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar itu telah dibina sejak 1998 menekankan konsep pembangunan rekreasi yang mengekalkan kawasan hijau dan pembentukan semula hutan sekunder.
“Taman seluas 81 ekar ini memberi peluang kepada orang ramai terutamanya bagi penduduk untuk beriadah sambil menikmati suasana yang nyaman.
“Taman Rakyat pernah memenangi anugerah Landskap Terbaik Peringkat Negeri Selangor pada tahun 2002 bagi kategori Taman Bandar,” tambahnya.
Menurut Hijjaz, pihaknya telah mengemukakan kertas cadangan bagi kerja-kerja pembangunan rekreasi bagi taman ini dan telah dipersetujui di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 8 Disember 2010 serta telah diluluskan.
“Kerja-kerja menaiktaraf kemudahan rekreasi dan landskap di Taman Rakyat itu bermula pada 2 Mei 2011 dan siap sepenuhnya pada Ogos lepas dengan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM198,375.20,” katanya.
“Antara kerja-kerja menaiktaraf itu adalah membina dan memperbaiki kemudahan sedia ada seperti membaikpulih lantai konkrit dan Interlocking Pavers, mengecat, memasang pemegang pada tangga dan taman refleksologi serta platform di tanah lapang, ” jelasnya.
Selain itu, Jabatan Taman dan Rekreasi MPK turut memasang lebih 70 unit bangku taman, 30 unit bakul sampah, 10 unit Picnic Table dan 5 unit Fitness Station.
Tambah beliau, pihaknya juga turut menjalankan penyelenggaraan landskap untuk tempoh 6 bulan meliputi kerja-kerja siraman, pembajaan, penggemburan, penggantian tanaman mati dan lain-lain penyelenggaraan yang perlu.
Muhammad Hijjaz berkata, pembaharuan dan pengubahsuaian yang telah dijalankan menitikberatkan keselesaan kepada pengunjung dengan menyediakan lebih banyak kemudahan asas dan pilihan ruang untuk menjalankan aktiviti.
“Pengaruh visual juga diubah melalui penggunaan warna yang lebih berani dan ceria serta mencuba pelbagai spesies tanaman baru.
“Kerjasama dan kesedaran sivik oleh pengunjung amatlah diperlukan dan berkongsi tangungjawab untuk mencegah salah laku, menjaga kebersihan dan memelihara harta benda awam,” ujarnya.