Persiapan Tahun Baru Cina di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU – Beberapa pendapat dari masyarakat Cina di Kota Kinabalu tentang persiapan menghadapi Tahun Baru Cina.

Seorang wanita kelihatan sedang membeli-belah bersama anak perempuannya.

Saat menjelangnya perayaan Tahun Baru Cina ini, pelbagai persiapan sudahpun dilakukan dengan bahang yang kian terasa.

Respon yang diterima wartawan Citizen Journalists Malaysia (CJMY) mendapati, persiapan membeli-belah telah pun dilakukan sejak dua minggu yang lalu.

Namun, disebalik persiapan-persiapan tersebut, terdapat juga rungutan yang diterima mengenai kenaikan harga bahan makanan seperti ikan, buah-buahan dan perkhidmatan seperti mencuci kereta dan salon kecantikan serta bahan bahan hiasan seperti tanglung.

Samada kenaikan ini bersifat sementara atau tidak, yang pasti, ramai yang mengeluh. Disebabkan ini, ramai mengakui situasi ini menyebabkan mereka membuat persiapan secara sederhana.

Apabila ditemuramah, beberapa orang kaum Tionghua memberikan reaksi yang hampir serupa.

Sulaiman bersama isteri dan anak yang dikasihi

Bagi Sulaiman Lee, 37 tahun, tahun ini mereka sekeluarga terpaksa membuat perbandingan barangan atau harga ketika membeli belah.

Ini dilakukan agar mereka dapat mengelakkan sebarang pembaziran

“ Setiap tahun kami tidak pernah terlepas menyambut Tahun Baru Cina.

“Tapi tahun ini saya dan isteri terpaksa buat secara ala kadar. Bahan makanan untuk jamuan yang kami beli pun terpaksa dibanding-bandingkan,” kata Sulaiman.

Manakala untuk pemberian ‘Ang Pau’ pula, ia hanya diberikan kepada kalangan keluarga sahaja, jelas beliau lagi.

“ Ang Pau hanya untuk keluarga sendiri sahaja. Tetapi, hampir semua tetamu yang datang bertujuan ingin bersama-sama merayakan perayaan  di rumah kami ini, “ kata Sulaiman seorang Cina yang telah memeluk Islam beberapa tahun lepas dan kini mempunyai seorang cahayamata.

“ Mereka faham situasi ini. Tujuan mereka datang adalah lebih untuk memeriahkan suasana sambutan.” ujar beliau lagi.

Walaupun kini berlainan agama, beliau tetap mengakui sambutan perayaan ini adalah penting kerana ia memastikan hubungan hubungan erat yang berterusan dikalangan keluarga dan sahabat handai.

“ Kenaikan harga barangan serba sedikit menjejaskan persiapan kami. Tetapi kemeriahan seperti ini perlu diteruskan untuk mengeratkan hubungan yang baik.” kata beliau lagi yang akan mengadakan rumah terbuka di Papar pada hari pertama Tahun Baru Cina.

Bagi Philip Chin pula, seperti Sulaiman, beliau turut mengambil langkah membezakan harga dan mengurangkan kuantiti pembelian bagi tujuan penjimatan.

Katanya, demi menyambut perayaan tersebut, barangan keperluan terpaksa dibeli walaupun harga telah meningkat tetapi dengan kuantiti yang sekadar cukup.

Philip akan menyambut perayaan kali ini di Tawau setelah 13 tahun berada di Kota Kinabalu

Philip berkata, “Macam mana pun tentu ada kesan pada persediaan kami. Kami hanya harap dapat beri hidangan yang ringan.”

“Satu tahun sekali, apa pun ingin dibeli. Tapi kurangkan saja sebab perlu berjimat. Banyak barang sudah naik harga dan mahal. Tapi terpaksa dibeli juga,” kata Philip yang akan menyambut perayaan tersebut di bandar kelahirannya Tawau.

Tahun ini, mereka sekeluarga hanya akan menjamu makanan ringan kepada tetamu seperti keropok dan biskut, katanya lagi yang kini berusia 40 tahun.

Berbanding dengan Sulaiman, Philip tidak mengadakan rumah terbuka pada tahun ini.

“ Tahun ini, kami macam tak ada ‘open house.’ Hanya makan sekeluarga saja. Saya ingat sekarang hanya ‘boss-boss’ besar sahaja yang ada buat ‘open house’.

Ujar beliau sambil mengakui terpaksa berjimat ekoran kenaikkan harga.

Manakala bagi Thomas Tan pula, 38 tahun, beliau lebih melihat kepada sentimen sambutan perayaan tersebut.

Walaupun terdapat kenaikkan harga, apa yang penting adalah perayaan itu disambut secara meriah kerana ia adalah suatu tradisi yang perlu diteruskan, tegasnya.

“ Harga barang sekarang lebih mahal dari dulu. Tapi walaupun  mahal, yg penting meriah, pasal ini perayaan yang besar. Sekarang kena awal bersedia supaya tak bersesak jalan di bandar.”kata Thomas.

Namun, seperti Sulaiman dan Philip, dia juga telah beli kuantiti barangan yang sedikit  berbanding dengan tahun lepas.

“Belian barang sudah dikurangkan setengah dari dulu. Tapi apa nak buat, kalau kerajaan asyik itu macam, tahun depan mungkin lagi mahal.” Ujar beliau yang juga akan menyambut perayaan tersebut di Tawau bersama anak dan isteri.

Tetapi, beliau tetap optimis bahawa sambutan perayaan tahun ini tetap meriah disebalik kenaikan harga barangan.

Thomas optimis sambutan perayaan tahun ini tetap meriah.

“ Tentunya perayaan ini tetap meriah walaupun harga naik. Kalau ramai saudara dan kawan-kawan datang ke rumah, kita akan terasa seperti kedekut jika tidak menghidangkan makanan. Malu juga kita. Kalau tak cukup, kita akan tambah. ”

Seorang lagi wanita yang ditemui berkata, sambutan perayaan kali ini mungkin tidak semeriah tahun-tahun lepas.

Melissa Ng memberitahu CJMY pada tahun ini dia dan suami tidak banyak membeli barangan dan hanya menyambut perayaan secara sangat sederhana di Kota Kinabalu.

Dia berkata, “ Kami tidak membeli banyak kerana harga yang meningkat. Jadi, kami cuma hidangkan makanan ringan seperti biskut, minuman, dan limau mandarin. Kami tak pasti samada dengan menjamu tetamu hanya dengan hidangan tersebut, ia akan bagi kesan pada kemeriahan. Tapi kita tengoklah nanti.”

Namun, Melissa berharap tahun hadapan harga barangan akan turun, katanya ringkas dan mengakhiri perbualan.

 

Gary Louis Supi