Cadangan pindaan Akta Binatang 1953 disambut baik pelbagai pihak

Cadangan pindaan Akta Binatang 1953 disambut baik pelbagai pihak

Jawatankuasa Penyelaras NGO Menjaga Kebajikan Haiwan menyambut baik langkah untuk meminda Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pihak yang menganiaya binatang.

Jawatankuasa Penyelaras NGO Menjaga Kebajikan Haiwan menyambut baik langkah untuk meminda Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pihak yang menganiaya binatang.

Penasihatnya Tan Sri Lee Lam Thye berkata perkara itu perlu dilakukan memandangkan penganiayaan dan kekejaman tehadap binatang sudah berterusan sejak sekian lama.

Di bawah cadangan pindaan itu seperti yang diumumkan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar semalam, mereka yang menganiaya binatang boleh didenda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam laporan media Ahad lalu, kira-kira 300 ekor kucing dilapor diselamatkan oleh orang ramai daripada penganiayaan seorang pemilik pusat jagaan haiwan di Damansara dan Sungai Buloh.

Lee dalam satu kenyataan Selasa meminta agar cadangan pindaan akta itu dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

“Jika pindaan dilaksanakan, ia akan membantu membanteras penganiayaan dan dapat menjaga kebajikan binatang serta mengatasi masalah yang berlaku,” katanya.

Persatuan Menolong Haiwan Sarawak (SSPCA) turut menyambut baik langkah lebih ketat untuk membendung penganiayaan terhadap binatang.

Presidennya Dona Wee berkata persatuan itu telah mengemukakan sokongan terhadap cadangan pindaan akta itu pada Mei lalu.

“Kami percaya banyak kes penganiayaan terhadap binatang berlaku kerana kekurangan kesedaran, sebagai contoh terdapat pemilik yang meletakkan binatang mereka di dalam sangkar selama berhari-hari yang ini adalah tidak betul,” katanya.

Beliau berkata menerusi pengenalan akta itu kelak, pemilik haiwan perlu mempunyai pemahaman dan pengetahuan dalam menjaga binatang peliharaan mereka bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

-Bernama