Seorang juruwang kafe internet dijatuhi hukuman penjara 11 bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini
selepas didapati bersalah memiliki dan mengugut untuk menyiarkan gambar bogel seorang wanita pada Jun lepas.
Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas Muhamad Sukri Kassim, 21, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama atau penjara lima bulan jika tidak membayar denda, manakala bagi pertuduhan kedua, Muhamad Sukri dikenakan penjara 11 bulan dan denda RM1,500 atau penjara tujuh bulan jika tidak membayar denda.
Abdullah Siddiq memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu serentak mulai hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Sukri yang berasal dari Segamat, Johor, didakwa dengan niat telah mengugut mangsa yang berusia 21 tahun untuk menyiarkan gambar bogelnya. Kesalahan didakwa berlaku di Blok A-3-18, Kelumpok Bambu A, Jalan AU2, Keramat Wangsa, pada 2.30 petang 15 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan niat memiliki gambar dan video lucah yang tersimpan di dalam telefon bimbitnya, di Blok 30, Bangunan Flat PKNS, Jalan Plumbum 7/97. Seksyen 7, Shah Alam, pada 4.20 petang 16 Jun lalu.
Terdahulu, Muhamad Sukri dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kerana dia telah menyesal dengan perbuatannya selain perlu menanggung ibu bapa yang sakit.
Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin, bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal memandangkan kesalahan yang dilakukan itu melibatkan kepentingan peribadi dan kehormatan diri pengadu dan keluarga.
“Sekiranya gambar-gambar ini berjaya disebarkan, ia cukup mengaibkan pengadu dan keluarganya. Tertuduh perlu diberikan hukuman yang mampu memberikan pengajaran kepadanya tidak kira apa sekalipun hubungannya dengan mangsa,” katanya.
– Bernama