Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan Kementerian Pengangkutan menubuhkan badan penimbangtara atau forum pengguna bagi mengendalikan isu berkaitan pengangkutan awam terutamanya bas ekspres dihadapi pengguna.
Pengurus kanan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Matheevani Marathandan berkata badan itu boleh bernaung bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana 98 peratus pengguna tidak tahu tentang kewujudannya.
“Selain itu, pengguna tidak tahu kepada siapa mereka patut mengadu tentang kualiti perkhidmatan pengangkutan awam tidak memuaskan dan merujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), (pemeriksa kenderaan) PUSPAKOM dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat FOMCA, Petaling Jaya pagi tadi.
Hadir sama, Presiden FOMCA Datuk Marimuthu Nadason.
Mengulas lanjut, Matheevani berkata gabungan itu telah menyerahkan satu salinan memorandum berkaitan perkhidmatan bas ekspres kepada kementerian pada 15 Ogos lalu.
“Pihak kementerian berjanji untuk memberitahu keputusan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Dalam kandungan memorandum itu, Matheevani berkata pihaknya mendapati kemalangan bas ekspres berpunca daripada sikap pemandu, keadaan kenderaan, keadaan jalan raya dan penguatkuasaan dan institusi.
Menurutnya, walaupun terlalu banyak andaian dan cadangan diberikan pelbagai agensi penguatkuasa dan NGO, namun tidak ada langkah penambahbaikan utama dilakukan.
“Sehubungan itu, FOMCA mencadangkan NCCC menjadi sekretariat forum di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 dengan sumber untuk pembangunan dan pelaksaan sekretariat ditanggung oleh SPAD sepenuhnya.
” Pada masa yang sama, kementerian pengangkutan juga disaran supaya mewujudkan satu akta pengangkutan awam memberi pelindungan kepada pengguna perkhidmatan bas ekspres,” tegasnya.