Seorang pekerja kilang maut selepas terjatuh daripada motosikalnya dan digilis sebuah lori di Km 139.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Juru, hari ini.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Seberang Perai Tengah ASP S. Manogaran berkata Mohd Farid Sulaiman, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari Bagan Ajam ke tempat kerja di Perai. Motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah motosikal lain menyebabkan mangsa terjatuh.
“Sebuah lori yang kebetulan berada di laluan sama tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa,” katanya kepada pemberita, di sini.
Mayat Mohd Farid dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Beliau juga berkata kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih lima kilometer.
– Bernama