Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) akan menyediakan bantuan khidmat kemanusiaan musim perayaan (Ops Bantu) bermula 25 Ogos ini.
Pegawai Perhubungan Awam JPAM, Adeli Hussin @ Drus dalam kenyataan hari ini berkata rondaan Ops seawal pukul 8 pagi dan berakhir 12 tengah malam itu akan berakhir pada 4 September.
Rondaan diberhentikan sementara dan pada hari raya pertama dan kedua.
Antara tugas Ops ini adalah memberi bantuan kecemasan iaitu ‘First Aider’ dan ‘First Responder’; membuat rondaan di sepanjang jalan raya persekutuan dan negeri bagi membantu sekiranya terdapat mangsa-mangsa bencana, kemalangan atau yang dalam kesusahan.
Selain itu anggota JPAM juga akan membantu membaikpulih kerosakan kecil kenderaan seperti menukar tayar bocor, membantu melancarkan lalu lintas serta membantu dalam beberapa masalah lain.
Kenderaan pertama dalam Ops ini akan dilengkapi peralatan menyelamat asas termasuk pembuka tayar T, jack kereta, pam tayar, dan tiub motosikal.
Kenderaan kedua ialah Motosikal Gerak Pantas 999 yang membawa peralatan menyelamat asas seperti lampu keselamatan (Baton Light) dan peti pertolongan cemas.
– Bernama