Polis tidak menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat K.Kathavarayan, tertuduh keempat dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain, Mahkamah Tinggi diberitahu semalam.
Cif Inspektor N. Govindan berkata soal siasat itu dilakukan di dua buah bilik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, dari 11 Sept hingga 14 Sept 2010.
Beliau berkata pada 11 Sept, soal siasat terhadap Kathavarayan dan seorang lagi tertuduh T. Thilaiyalagan hanya menjurus kepada keterangan yang tidak ada kaitan dengan prosiding hari ini.
Pada 12 Sept hingga 14 Sept pula, soal siasat adalah mengenai apa yang berlaku di tempat kejadian, katanya pada prosiding perbicaraan dalam perbicaraan yang diadakan bagi menentukan keadaan minda tertuduh semasa memberi kenyataan yang membawa kepada penemuan eksibit-eksibit dalam kes itu.
“Tiada sebarang bentuk kekerasan digunakan terhadap tertuduh (Kathavarayan), dan tiada penggunaan pistol digunakan ketika itu seperti yang didakwanya,” kata
Govindan ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.
Malah, katanya, tiada sebarang tipu daya atau helah digunakan sepanjang proses siasatan itu sebaliknya polis hanya menggunakan kaedah soal jawab.
Govindan, 45, berkata bahawa ketika siasatan itu, semua pegawai dan anggota polis termasuk dirinya sedia maklum bahawa sebarang senjata tidak dibenarkan dibawa masuk ke tempat soal siasat.
Ketika ditanya Saiful Edris mengenai dakwaan Kathavarayan bahawa Govindan telah menendang alat sulitnya, Govindan berkata: “Tidak. Kita tidak menggunakan kaedah itu.”
Beliau turut menafikan dakwaan Kathavarayan, yang merupakan saksi kesembilan dalam perbicaraan dalam perbicaraan itu, bahawa dia tidak diberi makan ketika berada dalam lokap.
Kathavarayan, pekerja ladang, bersama-sama bekas peguam N.Pathmanabhan, 42, dan dua lagi pekerja ladang, R.Matan, 21, dan Thilaiyalagan, 31, dituduh membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Terdahulu, Kathavarayan yang juga dikenali sebagai Ravi, memberitahu mahkamah menerusi penterjemah, bahawa pada 13 Sept 2010, dia telah dipukul di dalam sebuah van polis atas alasan memakai baju busuk.
Kathavarayan berkata baju itu dipakainya sejak ditangkap pada 9 Sept dan mendakwa dia tidak diberi peluang untuk membersihkan dirinya.
Dia juga mendakwa Govindan turut memukul bahagian belakang, kepala dan tangannya semasa dia berada dalam keadaan mencangkung.
Sebelum prosiding hari ini bermula, peguam bela Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, Thilaiyalagan, memberitahu mahkamah bahawa bapa Thilaiyalagan meninggal dunia semalam dan memohon untuk menghadiri upacara
pengebumian itu.
Ini kerana Thilaiyalagan perlu menguruskan pengebumian bapanya kerana abangnya berada di luar negara. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok.
– Bernama