Pembayaran zakat oleh pesawah kepada Jabatan Zakat Kedah amat mengecewakan sebaliknya bayaran oleh penjawat awam dan korporat meningkat.
Setiausaha Jabatan Zakat Negeri Sheikh Ghazali Yaakub berkata zakat padi yang dipungut selepas musim menuai lepas cuma RM4 juta sedangkan mengikut keluasan sawah jumlah yang dapat dipungut adalah RM38 juta.
“Saya sangat kecewa dan sedih….tidak tahulah ke mana mereka salurkan zakat, Rukun Islam yang wajib ditunaikan setiap kali selepas musim menuai padi.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana dari Januari hingga Julai lepas jumlah keseluruhan kutipan zakat mencecah RM58 juta berbanding tempoh sama tahun lepas cuma RM40 juta,” katanya hari ini.
Menurut Sheikh Ghazali lebih 5,000 orang pegawai persekutuan termasuk lebih 1,000 pegawai negeri membayar zakat pendapatan melalui potongan gaji berjumlah RM27 juta dari Januari hingga Julai lepas berbanding RM30 juta bagi tahun 2010.
Pihak korporat antaranya Bank Rakyat, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tabung Haji, Bernas, Agrobank dan Proton juga telah membayar zakat perniagaan berjumlah RM22 juta setakat ini, katanya.
Beliau berkata sebanyak RM83 juta pelbagai jenis zakat disasarkan dapat dikutip tahun ini iaitu peningkatan RM3 juta berbanding tahun lepas.
“Saya ingin menasihatkan umat Islam supaya zakat fitrah tahun ini dibayar kepada amil-amil bertauliah dan pegawai-pegawai masjid dan agen-agen yang dilantik sahaja bagi memastikan ia tidak terjatuh ke tangan tidak sah terutama pemungut di kaki lima yang tidak diketahui latar belakang mereka,” tambahnya.
Sheikh Ghazali berkata bayaran zakat boleh juga boleh dibuat melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip <FITRAH> dan hantar ke nombor 21999.
Katanya Jabatan Zakat Kedah menjangka jumlah pembayaran zakat dan bantuan kepada sembilan asnaf (golongan yang layak terima) pada tahun ini melebihi RM31 juta yang dikeluarkan pada tahun lepas.
– Bernama