Senjata api, peluru dan peralatan keselamatan tiruan dirampas, tiga ditahan

Senjata api, peluru dan peralatan keselamatan tiruan dirampas, tiga ditahan

Polis menahan tiga rakyat tempatan, termasuk seorang wanita serta merampas pelbagai jenis senjata api, peluru dan peralatan keselamatan tiruan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Park Ville Garden House, Petaling Jaya semalam.

Polis menahan tiga rakyat tempatan, termasuk seorang wanita serta merampas pelbagai jenis senjata api, peluru dan peralatan keselamatan tiruan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Park Ville Garden House, Petaling Jaya semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh Ishar Singh berkata atas maklumat orang awam, ketiga-tiga mereka yang berumur 30an ditahan kira-kira pukul 2.15 petang semalam di rumah sewa mereka yang dijadikan tempat menyimpan barang-barang tersebut, dipercayai untuk dijual.

“Hasil pemeriksaan di sebuah bilik berkunci dalam rumah itu, polis merampas  empat mesingan, satu laras raifal, dua laras shot gun, satu laras sub mesingan, enam pucuk pistol jenis Sig Sauer, Blowback, Glock dan US 9mm, 11 kelopak peluru mesingan dan sebutir peluru berkepala merah.

Selain barangan tiruan itu, polis turut merampas barangan tiruan seperti dua teropong, sepasang gari dan bayonet, satu bekas peluru 5.56 mm dan tiga pasang jaket kegunaan pasukan keselamatan.

Sebuah komputer riba dan dua telefon bimbit turut dirampas,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Amar Singh berkata siasatan awal mendapati kesemua senjata dan peralatan itu dibeli melalui internet yang berpangkalan di Hong Kong dan proses penghantarannya melalui perkhidmatan kurier.

“Bagi mengelakkan senjata itu dikesan oleh pihak berkuasa, suspek telah membuat pengisytiharan senjata tiruan itu sebagai alat ganti kenderaan atau kompresor semburan cat pada bungkusan kurier itu,” katanya.

Beliau berkata suspek disyaki melakukan kegiatan itu sejak dua tahun lepas dengan melakukan lebih 50 transaksi jualan senjata tiruan tersebut kepada pelanggannya di seluruh negara dengan menawarkan harga antara RM500 hingga RM900
selaras.

Mereka yang bekerja sebagai ahli perniagaan dan kerani telah menjalankan perniagaan itu secara sampingan dengan mengiklankan barangan tersebut di laman web dan Facebook, katanya sambil menambah mereka dipercayai telah mengubahsuai senjata tiruan itu sebelum dijual.

Beliau berkata hasil ujian air kencing ke atas dua lelaki itu mendapati mereka positif dadah jenis syabu, dan ketiga-tiga mereka ditahan reman bermula hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Amar Singh meminta orang ramai yang membeli atau memiliki senjata tiruan menyerupai senjata asal, supaya menyerahkannya kepada balai polis berhampiran.

“Walaupun senjata yang dirampas ini merupakan senjata tiruan, namun model dan pengoperasian senjata itu menyamai dengan mekanisme senjata asal dan polis khuatir senjata yang dirampas seperti ini boleh digunakan untuk tujuan melakukan jenayah serius yang boleh mengancam keselamatan awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan sesiapa yang memiliki, menyimpan, berniaga atau mengimport senjata tiruan adalah melakukan satu kesalahan yang menyalahi undang-undang.

– Bernama