Hujan lebat selama empat jam telah menyebabkan kawasan sekitar George Town dilanda bajir kilat yang teruk.
Menurut laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran, jumlah air hujan paling tinggi dicatatkan adalah di Bukit Bendera sebanyak 168mm. Manakala kawasan Sungai Air Terjun dan Kolam Air Hitam mencatatkan bacaan lebih daripada 100 mm.
Catatan hujan sebanyak 60 mm adalah berisiko tinggi, yang boleh mengakibatkan banjir.
Rata-rata penduduk di sekitar kawasan terjejas masih sibuk membersihkan rumah mereka akibat lumpur yang terhasil daripada banjir kilat itu.
Setakat pukul 3 petang hari ini Sungai Pinang di Georgetown masih dipenuhi air walaupun banjir kilat sudah surut.
CJMY sempat menemuramah mangsa banjir Nazri Hussain di mana rumah ibunya terletak di tengah kawasan banjir kilat tersebut.
Rumah ibu beliau yang terletak berhampiran sungai utama iaitu Sungai Pinang terjejas teruk akibat banjir itu.
Menurut beliau, pada jam 9.00 pagi air banjir berada pada aras pinggang dan hampir kesemua perkakas di rumah ibunya tenggelam.
Beliau yang bermaustatin di Kulim bergegas pulang ke Pulau Pinang pagi tadi untuk menolong menyelamatkan apa saja yang mampu dari rumah ibunya.
Bila ditanya tentang jangkaan kerugian, Nazri memberitahu kerugian di rumah ibunya sahaja dianggarkan kira kira dua ribu ringgit ke tiga ribu ringgit.
Perkakas rumah seperti peti ais , televisyen dan juga kabinet dapur antaranya habis musnah ditenggelami air.
Beliau juga memaklumkan kepada CJMY bahawa setakat jam 3 petang tadi masih tiada bantuan yang disalurkan.
Bantuan yang mereka perolehi setakat ini hanyalah makanan berupa nasi bungkus.
Menurut e-mel yang dihantar dari Pejabat Ketua Menteri kepada CJMY tengahari tadi , Ketua Menteri telah mengarahkan ahli ahli EXCO untuk turun padang ke kawasan banjir untuk memantau kawasan bencana.
Menurut sumber dari Pejabat Ketua Menteri, 4 kontraktor telah pun dipanggil untuk kerja-kerja kecemasan membersihkan sungai dan kawasan bencana akibat hujan lebat pagi ini.
Kontraktor kontraktor yang dipanggil oleh JPS ialah Syarikat Malinaz untuk Sungai Pinang serta Map & Ammar untuk Kampung Masjid dan di depan Flat Zainal Abidin serta Sungai Air Hitam.
2 kontraktor Majlis Perbandaran Pulau Pinang ialah Syarikat Azah dan Syarikat Farah Enterprise yang sedang mengurus kerja-kerja pembersihan sekitar Jalan Masjid Negeri.
Gambar: Nazri Hussain