Polis percaya penemuan rangka manusia di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada Isnin lepas adalah warga Perancis yang dilaporkan hilang sejak Mei lepas, kata Ketua Polis Pahang Saifuddin Ab Ghani.
Bagi mengesahkannya, beliau berkata polis telah meminta ujian asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga Stefanie Foray di Perancis untuk dipadankan dengan penemuan mayat berkenaan.
“Pada 8 Ogos lepas sepasukan polis yang diketuai SAC T.Narenasagaran, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang bersama Dr Sri Marni Zainal Abidin daripada Jabatan Pathologist HTAA pergi ke lokasi mayat mangsa ditanam.
“Polis telah menjumpai satu rangka manusia “mummified” (dibungkus seperti mumia) dipercayai mayat Stefanie Foray berserta sebuah beg haversack dipercayai milik mangsa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Katanya mangsa dijumpai ditanam kira-kira tiga meter di dalam gua di kawasan Kampung Tekek, Pulau Tioman.
— LAGI
POLIS-PERANCIS 2 KUANTAN
Sebelum ini, media melaporkan kehilangan seorang wanita warganegara Perancis
Stefanie Foray, 30, yang berasal dari Bourg En Bresse sejak 8 Mei lepas.
Saifuddin berkata maklumat yang diterima oleh polis Melaka, mangsa pernah
menginap di Sayang Sayang Guest House, Melaka mulai 7 hingga 9 Mei.
Hasil pemeriksaan lanjut, katanya mangsa dilaporkan pergi ke Pulau Tioman
menaiki feri dari Mersing melalui Blue Water Express pada 10 Mei dan tiada
pendaftaran keluar.
Saifuddin berkata hasil siasatan lanjut, polis menangkap seorang lelaki, 36,
yang bekerja sebagai sewa peralatan menyelam di Kampung Tekek, Pulau Tioman.
Katanya suspek mendedahkan maklumat bahawa mangsa telah ditanam di dalam
sebuah gua di Kampung Tekek.
— LAGI
POLIS-PERANCIS 3 (AKHIR) KUANTAN
Katanya polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sejumlah mata wang
Sri Lanka daripada suspek manakala satu kad “Carte Dassurance Maladie” di atas
nama mangsa, satu kad Visa, tiga rantai perak, dua gelang tangan warna kuning
dan sebentuk cincin perak dalam rumah suspek.
Saifuddin berkata polis turut menahan seorang lagi suspek berusia 44 tahun
bagi membantu siasatan dan kedua-duanya ditahan reman di Melaka.
Selain itu, polis turut menjumpai bantal, tilam, beg haversack jenama X-Zone
di tempat mayat dijumpai.
Setakat ini, katanya motif pembunuhan dan sebab kematian masih disiasat.
— BERNAMA
ZAF MS HS